KUALA LUMPUR - Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kunjungan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti berkenaan.

Kunjungan itu dibuat oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali melalui pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Dr Sabin Samitah, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Datuk Dr Sotimin Muhalip; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Abu Tariq Jamaluddin dan Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar.

Dr Hendrik berkata, pertemuan itu turut membincangkan mengenai Talent Pipeline Academy Program atau lebih dikenali dengan nama Shukatsu bagi membolehkan pelajar universiti berkenaan yang memenuhi kriteria atau syarat ditetapkan, terpilih atau diserapkan ke LHDN.

"Program Shukatsu yang diilhamkan oleh Shusoku Katsudo Jepun itu bertujuan untuk memburu bakat muda seawal semester empat bagi melatih mereka mengikut kehendak dan keperluan syarikat.

"Ia juga adalah inisiatif universiti dalam menghasilkan tenaga kerja yang menepati keperluan majikan merangkumi penglibatan dalam industri dan program peningkatan kemahiran sekali gus mengambil mereka bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian," katanya.

Dr Hendrik dan Dr Sabin ketika sesi pertemuan di LHDN, baru-baru ini.

Dr Hendrik yang mencetuskan idea penubuhan program Shukatsu di UUM itu berkata, peluang sebegini perlu diketengahkan agar dapat merapatkan jurang antara universiti dan industri sekali gus membawa kepada peningkatan kebolehpasaran graduan dan mempercepat kesediaan pelajar untuk menyertai industri.

"UUM sentiasa terbuka dan mengharapkan peluang diberikan kepada pelajarnya untuk menyertai mana-mana sahaja program asalkan mereka diberi tempat untuk menjalani latihan industri nanti.

"Saya yakin usaha untuk memperkasa program yang dirancang dalam pertemuan ini dapat direalisasikan kerana  Dr Sabin dan ramai staf LHDN juga adalah alumni UUM," katanya.

Artikel menarik

Tip yang perlu guru buat dan elak dalam bab penampilan, ini senarainya!

Sebelum lepaskan anak-anak ke asrama penuh, ini 8 tip yang perlu mak ayah buat. Mohon hadam