KUALA LUMPUR -  Yayasan Sabah memberi jaminan kebajikan pelajar dari negeri Sabah yang ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran peringkat sekolah menengah di Semenanjung Malaysia terjamin sepenuhnya.

Pengurus Kanan, Yayasan Sabah Cawangan Kuala Lumpur, Zaidah Hussain berkata, beliau sedar kerisauan dan dilema ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka seawal usia 13 tahun merentasi Laut China Selatan bagi melanjutkan pelajaran selama lima tahun di sini.

Ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Ampang baru-baru ini, beliau berkata menerusi pengalamannya menemu duga pelajar dan ibu bapa yang memohon biasiswa berkenaan di seluruh pelusuk negeri, hampir 70 peratus daripadanya tidak bersetuju untuk melanjutkan pelajaran di Sememanjung Malaysia.

Menurutnya, ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti risau anak menjadi mangsa buli, faktor jarak yang jauh dan tempoh lama, selain memikirkan prasarana pendidikan di negeri itu yang semakin baik.

Bagaimanapun, Zaidah yang bertugas selama 33 tahun di cawangan itu berkata, pelajar-pelajar tajaan Yayasan Sabah itu ditatang umpama minyak yang penuh, segala urusan mereka daripada mula mendapat tawaran dan sepanjang melanjutkan pelajaran di sini diuruskan sepenuhnya oleh yayasan berkenaan.

Zaidah, anak jati Sabah dari Kota Kinabalu itu yang diumpamakan sebagai 'ibu dan bapa' kepada pelajar tajaan Yayasan Sabah di Semenanjung Malaysia berkata, pihaknya memberikan taklimat kepada ibu bapa dan pelajar dari segi proses pengendalian pelajar sebelum mereka dibawa ke sini.

"Setelah mereka bersetuju menerima tawaran, kita akan berikan taklimat berkenaan seperti bayaran yuran, biasiswa dan kebajikan. Urusan tiket penerbangan semuanya juga diuruskan Yayasan Sabah dan bagi pelajar yang tiada pengangkutan dari kampung, kami juga sediakan pengangkutan," katanya.

Zaidah berkata, kesemua pelajar baharu Tingkatan 1 yang tiba di ibu negara akan ditempatkan di bangunan milik Yayasan Sabah yang dilengkapi kemudahan asrama pelajar, bangunan pentadbiran dan kemudahan sukan selama tiga hari.

Katanya, ia bagi memberi penerangan dan taklimat kepada pelajar berhubung cara pembawaan diri di Semenanjung agar tidak mengalami kejutan disebabkan perbezaan budaya dan cara hidup yang mungkin berbeza dengan di Sabah.

Selain kemudahan tambang pengangkutan yang turut ditanggung setahun sekali untuk balik ke kampung halaman masing-masing, Zaidah berkata bangunan itu juga berfungsi sebagai rumah bagi pelajar untuk balik bercuti sekiranya cuti penggal sekolah.

"Yayasan Sabah turut melantik seorang guru khas untuk menjaga kebajikan pelajar tajaannya di setiap sekolah, dengan persetujuan pengetua. Guru ini akan ditugaskan untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan yuran, buku teks, pakaian dan perjalanan pelajar berdasarkan tuntutan sekolah," katanya.

Tahun ini, terdapat sejumlah 111 anak negeri itu dari Tingkatan 1 hingga 5 yang mendapat Biasiswa Sekolah Menengah ke Semenanjung Malaysia, merangkumi sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Agama, PERMATA dan sekolah harian biasa.

Yayasan Sabah membelanjakan kira-kira RM7,000 bagi setiap pelajar tajaannya setahun termasuk untuk penerbangan, yuran, wang saku, pakaian, program cuti sekolah dan pengurusan.

Yayasan Sabah ditubuhkan melalui Enakmen No 8, Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1966 dengan objektif menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang memerlukan dan bagi pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.- BERNAMA

Artikel menarik

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

‘Ayah bawa lori, ustazah. Mak pula dah tak ada’ – Luahan murid Tahun 6 ini buat ramai sebak!