LABUAN - Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan telah dinobatkan Johan Pertandingan Forum Remaja Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Cun, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu, di sini kelmarin.

Antara pelajar yang mewakili sekolah itu ialah Waznah Saiyidah Sidik (Pengerusi Forum), Khairunisa Jaffri (Panel 1), Mohd Haykal Adli Abdul Rahman (Panel 2), Muhammad Kamal b. Tahir (Panel 3) serta Nurul Asyiqin Abdul Hadi (Peserta Simpanan).

Majlis juga telah menganugerahkan Anugerah Panel Terbaik yang jatuh kepada Khairunisa Jaffri.

Guru penasihat, Yahya Burhanuddin berkata, Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi diberi rezeki menjadi Johan Pertandingan Forum Remaja Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2016.

"Sebagai guru pembimbing, saya berasa gembira dan terharu atas pencapaian pasukan forum sekolah saya dalam pertandingan ini setelah mencuba selama tiga tahun yang lepas.

"Benarlah kata ungkapan, biar pahit di pangkal tetapi manis di hujung, berkat usaha yang tidak pernah berputus asa, akhirnya pasukan forum SMSL berjaya menjadi johan," katanya.

Selain itu, Yahya juga berharap semoga pasukan forum remaja dari sekolah tersebut akan mencapai sinar kejayaan di peringkat kebangsaan pada hujung bulan ini.