JOHOR BAHRU - Seramai 33 murid sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, di Pasir Gudang mengalami loya dan muntah-muntah selepas mengadu terhidu bau busuk di sekolah berkenaan, pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan sekolah) Johor Ab Rahim Lamin berkata pada awalnya seramai 25 murid dilaporkan mengalami simptom berkenaan pada kira-kira 7.30 pagi sebelum bertambah kepada 33 murid pada 9 pagi tadi.

"Kesemua murid melibatkan lima lelaki dan 28 perempuan. Seramai 17 daripada mereka merupakan murid tahun empat, tujuh murid tahun lima dan sembilan murid tahun enam,” katanya yang dihubungi hari ini.

Ab Rahim berkata kesemua mereka sudah dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk rawatan dan pihak sekolah juga sudah menghubungi bomba untuk tindakan bersesuaian.

Beliau berkata daripada keseluruhan 33 murid juga, 17 daripada mereka iaitu tiga murid lelaki dan 14 perempuan merupakan murid terkesan berulang iaitu pernah mengalami simptom berkenaan sebelum ini.

Katanya sesi persekolahan, bagaimanapun, diteruskan dengan memindahkan kesemua murid yang berada di tingkat tiga dan empat ke bangunan-bangunan di tingkat bawah.

Beliau berkata SK Taman Pasir Putih mempunyai keseluruhan 1,119 murid dengan dua sesi persekolahan. - Bernama

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR