LAPORAN Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah mencatatkan banyak pencapaian signifikan dalam  memastikan sistem pendidikan terus berada pada tahap berkualiti.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pelbagai usaha telah  dilaksanakan agar akses universal kepada pendidikan untuk semua dapat dicapai.

"Di bawah komitmen daripada kementerian dan sokongan padu daripada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), saya berbangga  memaklumkan bahasa kita telah mencapai perkembangan yang sangat signifikan.

"Kita telah melaksanakan usaha yang signifikan untuk memastikan akses universal kepada pendidikan untuk semua," katanya.

Menurutnya, hasil usaha mengkoordinasikan prasekolah awam dan swasta di seluruh negara KPM telah berjaya meningkatkan enrolmen prasekolah kebangsaan daripada 84.3% pada tahun 2017 kepada 85.4% pada tahun lalu.

Laporan Tahunan 2018 ialah dokumen yang mengandungi pencapaian, cabaran dan kekangan semasa pelaksanaan inisiatif PPPM.

REAKSI:

Mohamad Shaharudden Muhamad Kalam, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan.

Bagi saya usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh KPM dalam meningkatkan akses pendidikan negara amatlah bertepatan sekali dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memerlukan transformasi secara menyeluruh daripada pelbagai pihak.

Misalnya, penggunaan teknologi digital secara holistik dalam dunia pendidikan pada hari ini telah membuka platform untuk murid-murid menguasai teknologi dalam menongkah kelangsungan hidup pada era globalisasi ini.

Tidak ketinggalan juga, KPM telah melaksanakan usaha-usaha dalam memastikan keseimbangan Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS) murid-murid tidak dipinggirkan sekali gus melahirkan generasi pelapis pewaris negara yang berminda kelas pertama dan terpuji sahsiahnya.

 

Mohd Asrulnizam Md Yusuf, Guru Pendidikan Islam, SMK Jerlun, Kedah.

Pelaksanaan pengisian mata SSDM (Sistem Sahsiah Diri Murid) daripada guru kepada murid telah menggalakkan murid untuk berakhlak baik dan membuat kerja sukarela berbentuk kebajikan untuk membolehkan mereka mendapat mata merit di samping mengelakkan diri mereka melakukan kesalahan disiplin (demerit).

Penilaian secara holistik dan berterusan ini sepatutnya akan melahirkan murid yang bertanggungjawab dan beretika dalam mematuhi peraturan.

 

Esmimi Elias, Guru Bahasa Melayu, SK Kuala Pegang, Kedah.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2021 merupakan landasan dan panduan khususnya dalam dunia pendidikan agar saluran dan maklumat dapat diterapkan, malah perlu digembleng tenaga oleh semua warga pendidik agar matlamat pendidikan bertaraf dunia dapat dijayakan.

Bahkan dengan pelaksanaan pelan ini dapat melahirkan  generasi yang berwawasan serta berinovasi bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi sahsiah dan akhlak.

Samuel Isaiah, Guru Bahasa Inggeris, SK Runchang, Pahang.

Statistik yang dipamerkan menunjukkan kejayaan kepada sistem dan anjakan sedia ada.

Terdapat pelbagai faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan murid Orang Asli ke sekolah. Namun, bagi saya usaha kementerian untuk meningkat kompetensi dan profesionalisma guru-guru merupakan penyumbang utama.

Guru-guru kini lebih bersedia dengan pedagogi yang berkesan, disamping mengintegrasikan elemen-elemen hiburan dan nilai yang dapat ‘engage’ murid-murid Orang Asli dalam pembelajaran.

Namun begitu, statistik tidak semestinya menggambarkan segala realiti sebenar di bilik darjah, sekolah, dan komuniti Orang asli.

Usaha berterusan harus diutamakan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingya pendidikan, mengubah persepsi negative terhadap kebolehan anak-anak Orang Asli, dan mengekalkan persekitaran kondusif dan positif di sekolah dan komuniti.

 

Noorjahan Sultan, Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru Teruntum, Pahang.

Akses, Ekuiti, Kualiti, Perpaduan & Kecekapan adalah lima aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Meskipun berhadapan dengan pelbagai polemik dan cabaran KPM dilihat sebagai gigih menjayakan lima aspirasi ini.

Sebagai seorang warga Kementerian Pendidikan Malaysia saya terpanggil untuk memastikan kelima-lima aspirasi ini dapat dicapai mengikut kapasiti dan kemampuan saya. Tugas dan amanah sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan dioptimumkan sebaik mungkin dalam memastikan akses, ekuiti dan kualiti, perpaduan dan kecekapan meningkat.

Saya cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik dari segi bimbingan & khidmat bantu, penyebaran maklumat yang betul dan berkesan serta penganjuran pelbagai jenis perkongsian pintar secara sendiri mahupun berkolaborasi.

Antara tugas utama Pegawai Teknologi Pendidikan selain memasyarakatkan teknologi adalah mengimarahkan budaya membaca. Gerakan ini giat dijalankan secara komprehensif menerusi pelbagai program dan aktiviti. Saya percaya pembudayaan ini mampu melahirkan generasi yang bermaklumat, berkebolehan untuk berfikir secara kreatif dan kritis, menyelesaikan masalah dengan bijaksana dan berhemah yang akhirnya menjadi warganegara kelas pertama dan bersedia beraksi di pentas dunia.

Akhir sekali saya percaya kecekapan juga merupakan elemen yang amat penting bagi penjawat awam. Pelan Pembangunan Pendidikan yang terbaik di dunia sekalipun akan menjadi gajah putih jika tahap kecekapan pihak pelaksana rendah. Kita perlu lebih proaktif, kreatif dan inovatif dalam merealisasikan aspirasi negara yang kita cintai ini.

Noorjahan Sultan dianugerahkan sebagai “Pencetus Inspirasi” 2017 semasa Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diadakan pada 30.7.2018 di Auditorium Kompleks E, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mohamed Sapari Mohd Arshad, Guru Besar, SK Kampung Baharu, Perak.

Pelaksanaan PPPM (2013-2025) kini berada di Gelombang Anjakan Transformasi ke-2 daripada 3 gelombang. Fasa ke-2 berpaksikan ke arah memacu peningkatan sistem akan berakhir pada tahun 2020.

Namun beberapa siri kejayaan pelan pembangunan yg dirangka ini semakin jelas impaknya. Antaranya ialah peningkatan penglibatan ibu bapa , komuniti dan agensi kepada sekolah semakin ketara.

Penglibatan mereka sebagai sukarelawan di sekolah- sekolah kini sudah menjadi lumrah. Pelbagai bantuan, sokongan dan kepakaran telah dikongsi bersama dalam menyumbang kepada pembangunan holistik anak-anak mereka di sekolah.

Ini bermakna Anjakan ke-9 PPPM : Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas telah menampakkan hasilnya.

Tahap kepedulian komuniti setempat kepada sekolah telah mengubah persepsi mereka terhadap sekolah yang dianggap terlalu ekslusif sebelum ini telah dirungkai.

Mohd Anuar Mat Salleh, Guru SMK Seri Desa, Selangor.

Saya mengucapkan tahniah kepada KPM atas kejayaan dan pencapaian dalam enrolmen semua peringkat pendidikan yang menunjukkan peningkatan yang amat ketara di semua peringkat pendidikan dengan peratus keciciran murid yang semakin mengecil.

Jelas terbukti, ini memberi peluang untuk semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan formal di sekolah selaras dengan dasar KPM.

Dalam usaha membangunkan nilai dan sahsiah murid, KPM telah melaksanakan pengisian Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang jelas terbukti berupaya membantu guru merekod dan melaporkan amalan bank dan salah laku murid di sekolah.

Tahniah kepada warga KPM kerana peratus pengisian sistem meningkat sebanyak 15% berdasarkan peratusan pengisian SSDM tahun 2018 sebanyak 90% berbanding tahun 2017 antara 70-75% sahaja.

MOHD ANUAR MAT SALLEH

SMK SERI DESA, TANJONG KARANG, SELANGOR

 

Mohd Shamsury Abdul Rahman, PPP Guru Cemerlang Pendidikan Islam, SMK Sultanah Hajjah Kalsom Bandar Damansara Kuantan.

Kebolehupayaan untuk mengaplikasikan Pendekatan STEM  di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam diragui oleh sesetengah guru merupakan suatu cabaran untuk membuktikan pendekatan STEM boleh melahirkan murid yang mampu membuat hubungkait apa yang berlaku disekeliling mereka dengan ayat-ayat al-quran yang merupakan disiplin ilmu yang harus dipatuhi.

Justeru itu, saya mengaplikasikan amalan STEM di dalam kelas melalui tajuk kekuatan dan kekuasaan Allah SWT yang dimulai dengan tayangan video berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT.Murid diminta mencari dalil di dalam al-quran sebagaimana yang terdapat di dalam video tersebut di samping memerhatikan serta menghayati maknanya.

Kemudian saya meminta murid berkongsi pemahaman mereka bersama dengan pasangan di dalam kumpulan masing-masing perkaitan antara video tersebut dengan dalil-dalil yang terdapat di dalam AL-Quran dengan mencatatnya di atas kertas dan seterusnya mereka bertukar pasangan di dalam kumpulan untuk mencari idea yang terbaik yang telah disepakati untuk dibentangkan di hadapan kelas.

Setiap kumpulan diminta untuk membuat persembahan mengikut kreativiti kumpulan masing-masing secara bergilir-gilir.Ahli kumpulan yang lain dibekalkan dengan borang penilaian markah untuk menilai persembahan setiap kumpulan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Ini dapat memberikan ruang kepada murid untuk menilai dan memberikan hujah berdasarkan markah yang telah mereka berikan sejajar dengan aspirasi murid yang memiliki kemahiran berfikir sebagaimana hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Akhir sekali, sebagai rumusannya saya mengajak semua murid untuk saling bermuhasabah dengan meminta murid menghasilkan sekeping kad bicara hati mengikut kreativiti masing-masing dengan meminta mereka mencadangkan apakah tindakan-tindakan yang akan lakukan selepas ini setelah mempelajari sesuatu tajuk.

Kesimpulannya, guru-guru Pendidikan Islam khususnya harus bertanyakan diri masing-masing tentang apa yang diharapkan tindakan melalui murid apabila mereka mempelajari sesuatu tajuk supaya apa yang mereka pelajari dan pengalaman yang dilalui semasa PdP dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan seharian mereka yang tidak hanya menfokuskan kepada peperiksaan semata-mata lebih-lebih lagi hanya sekadar keseronokkan semata-mata melalui aktiviti PAK 21 yang dijalankan di dalam kelas.

Baca:

10 topik Sains ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains Cikgu Zazolnizam

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR

Calon SPM SMK Tendong mohon sumbangan tampung kos rawatan - Patah kedua kaki, limpa kena buang

Enam tip berkesan sebelum duduki peperiksaan

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi