JITRA - Warga sekolah SMK Tanjung Pauh mengadakan lawatan penanda aras ke Sekolah Hatyaiwittayalai ,Thailand, pada 20 hingga 21 Jun lalu bagi memperkayakan pengetahuan dan interaksi membina jalinan sekolah.

Setiausaha rombongan SMK Tanjung Pauh, yang juga, Guru Penyelaras Bestari, Sejarah, Asas Sains Komputer dan Pendidikan Seni Visual,  Cikgu Zarimah Sham Ramli berkata, 50 orang pendidik yang menyertai rombongan tersebut bukan sahaja dapat menimbang ilmu dan pengalaman tentang pengurusan sekolah yang dilawati.

Malah, ia memberi peluang kepada warga sekolah berkongsi idea dan kepakaran, ke arah memurnikan budaya kerja cemerlang dalam kalangan guru  dan kaki tangan sekolah.

“Ia seiring dengan hasrat sekolah, memacu kecemerlangan pelajar mengikut  kesesuaian  minat dan keperluan mereka,”katanya.

Menurut Cikgu Zarimah, objektif utama lawatan tersebut adalah untuk merencana, merancang dan menggembeling tenaga dengan kebijaksanaan intelektual untuk membangunkan potensi pelajar dengan cara kolaborasi pintar.

Tambah beliau, menerusi lawatan tersebut, beberapa nilai positif dapat dilihat dan boleh diambil peduli ke arah kecemerlangan sekolah pada masa akan datang.

“Sekolah Hatyaiwittayalai sebuah sekolah yang bertaraf world standard school, serta mempunyai pengurusan organisasi yang cekap.

“Program yang dirancang juga dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Hasil komitmen semua pihak termasuk sekolah, ibu-bapa dan pelajar, membolehkan Sekolah  Hatyaiiwittalayai menjadi salah sebuah sekolah terbaik di Thailand,”jelasnya.

Katanya lagi, Sekolah Hatyaiwittayalai ini mempunyai pencapaian yang seimbang antara akademik dan ko-akademik, sama ada peringkat wilayah, daerah, kebangsaan dan antarabangsa.

Ia membolehkan SMK Tanjung Pauh, mengutip pelbagai ilmu dan pengetahuan, untuk melahirkan pelajar yang cemerlang.

“Hasil perbincangan, kedua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam beberapa program terutamanya program Bahasa Inggeris,”ujar beliau.

Selain itu, program lawatan turut diisi dengan melawat ke beberapa tempat menarik sekitar Hatyai dan Songkhla, iaitu Chang Puak Camp, Floating Market, Pantai Samila, dan Asean Night Market.