SHAH ALAM - Masih terdapat lebih 500 taska yang beroperasi di Selangor dikesan masih belum  berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi secara haram.

Pendedahan itu dibuat Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayakan  Wanita dan keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud ketika mengulas statistik terkini taska berdaftar di negeri ini.

Menurutnya, dalam jumlah itu, ada pengusaha taska gagal  memperbaharui lima tahun perakuan taska pada tahun 2012 dan 2013 yang kebanyakannya tamat tempoh pada tahun 2018.

“Pengusaha taska yang tidak memperbaharui perakuan terbabit  secara automatiknya dikategorikan sebagai taska tidak berdaftar. Sebab itu jika melihat rekod, jumlah taska yang berdaftar bagi tahun ini adalah sebanyak 87 buah sahaja.

“Jika dibandingkan pada tahun lalu, sebanyak 153 taska dikenal pasti berdaftar di bawah JKM.  Jumlah itu menurun disebabkan faktor yang saya jelaskan tadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Merujuk rekod, hanya sebanyak 72 taska kategori institusi, sembilan taska rumah dan enam  lagi di tempat kerja berdaftar di bawah JKM pada tahun ini
berbanding 105 taska kategori institusi, 40 taska rumah, tiga komuni dan lima di tempat kerja pada tahun 2017.

Faktor penurunan jumlah taska yang berdaftar dikenal pasti tidak menepati syarat yang ditetapkan  selain gagal memperbaharui perakuan taska dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas Dr Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang itu menegaskan, kerajaan negeri  memandang serius perkara tersebut dan terus menggalakkan kempen untuk memastikan pengusaha taska ini mendaftar dengan agensi kerajaan.

“Kita tidak mahu insiden yang berlaku membabitkan kematian dan  kecederaan anak asuhan berulang di bawah jagaan pengasuh seperti yang berlaku sebelum ini.

“JKM akan sentiasa berhubung dengan pengusaha taska ini supaya mereka sentiasa peka dengan syarat dan tempoh perakuan yang telah ditetapkan,” katanya.