KUCHING - Lembaga Peperiksaan Malaysia boleh menggunakan pendekatan lain untuk mentaksir prestasi pelajar tahun enam dan tingkatan tiga meskipun Ujian Penilaian sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata tiga lagi komponen pentaksiran boleh digunakan selain peperiksaan pusat yang dikendalikan lembaga itu.

"Salah satunya adalah pentaksiran bilik darjah, keduanya pentaksiran psikometrik dan ketiganya pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagi tujuan pemilihan ke sekolah-sekolah berasrama penuh, vokasional dan tawaran biasiswa, Fatimah menyarankan supaya ujian khas dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan yang hanya akan membuka semula sesi persekolahan setelah situasi COVID-19 benar-benar pulih sebagai langkah tepat demi keselamatan pelajar sebagai pewaris anak bangsa.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata pembatalan peperiksaan itu akan mewujudkan senario baharu dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PDPC) guru-guru.

"Guru-guru tidak perlu terkejar-kejar lagi untuk menghabiskan silibus mereka sebelum peperiksaan tersebut dilaksanakan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata pembatalan UPSR dan PT3 ini akan membolehkan murid-murid menikmati suasana pembelajaran lebih menyeronokkan selaras dengan konsep didik hibur yang ditekankan dalam pendekatan PDPC terkini.

Menurutnya, penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke tahun hadapan juga merupakan langkah kepedulian KPM terhadap keperluan dan kesediaan pelajar-pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan.

"Penangguhan ini sebagai fasa untuk memberi peluang kepada murid-murid untuk membuat persediaan secukupnya bukan sahaja dari segi kandungan akademik, malahan lebih penting dari segi mental dan emosi selepas ‘berkurung’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mengumumkan pembatalan dan penangguhan peperiksaan-peperiksaan itu hari ini berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah menjaga keselamatan dan kesihatan kira-kira lima juta pelajar di negara ini berikutan penularan COVID-19. - Bernama

Artikel Menarik:

'UPSR batal.. penilaian dilakukan dengan pelbagai kaedah lain' - Dr Mohd Radzi

Teks ucapan penuh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

'Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video' - Cikgu boleh cuba ni

Selamat datang Menteri Pendidikan baharu, ini biodatanya