Sering kali kita dengar tentang kisah pelajar yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Bukan sebab mereka lupa membawa duit, tetapi disebabkan pelajar ini memang tiada wang dek datangnya daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Bagi Cikgu Mohamad Yusof Sulehin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor, dirinya turut mempunyai pengalaman berdepan dengan pelajar sedemikian.

“Saya ingatkan semua pelajar asrama mempunyai duit lebihan untuk membeli makanan dan keperluan harian, rupa-rupanya masih ada yang tidak mempunyai wang membeli makanan, malahan ada yang tidak mampu membayar yuran asrama disebabkan kemiskinan.

“Yang terbaru, saya sangat sedih dan hampir menangis bila melihat pelajar-pelajar berkongsi makan beramai-ramai dalam gelap, minggu lalu. Sebak bila melihatkan situasi tersebut," katanya kepada GPS Bestari.

Sementara itu, ada satu kisah yang paling diingati Cikgu Mohamad Yusof hingga kini.

“Cerita pelajar dan maggi serta idea mewujudkan Food Bank di asrama sekolah berkenaan. Kisah tersebut pasti kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila.    

“Harapan saya agar semua pembaca akan mendapat ‘sesuatu’ menerusi perkongsian tersebut," ujarnya.

Ini kisahnya...

*****

Masa saya naik round asrama, saya tengok ada empat hingga lima orang budak tengah berkumpul dalam gelap. Saya ingat mereka tengah buat apa. Geram juga saya. Rupanya mereka tengah berkongsi makan maggi. Mula-mula saya nak marah juga sebab dah malam-malam tak tidur lagi tapi kesian pula saya tengok anak-anak murid saya ni. Kadang tak boleh nak salahkan kumpulan pelajar ini juga. Ye lah, budak nak membesar memang cepat lapar.

Budak asrama saya ni bukan semua datang daripada keluarga kayangan. Ada budak yang ayahnya kerja bawa teksi, ada budak yang mak ayah bercerai, ada budak yang ayahnya kena buang kerja.

Kadang bila ada budak yang kaya sikit bawa makanan sedap-sedap, terliur jugak anak-anak yang kurang berkemampuan ni. Dulu saya pun pernah melalui kenangan ini.

Jadi, atas niat nak membantu tercetuslah idea ‘Food Bank’ ini. Tujuan saya ialah anak orang kaya ke, anak orang miskin ke, semua boleh makan makanan bersama-sama. Pada saya, sekolah atau asrama bukanlah tempat untuk murid berlapar.

Bila dah start projek ni, saya ada tanya respons anak murid saya.

Mereka kata...

“Cikgu buat sama macam idola kami, Ebit Lew la cikgu...”

Bahkan ada budak yang berminat nak bincang dengan keluarga nak buat food bank kat rumah masing-masing.

Terharu juga saya. Saya doakan semoga bila mereka dah besar nanti, tak kisahlah kerja apa sekalipun, biar pelajar jadi manusia yang menyumbang sesuatu untuk masyarakat. Tak banyak, sikit pun jadilah. Sebab mentaliti nak tolong sesama manusia ini, kalau dipupuk dari awal mungkin lepas ni susah dah kita nak jumpa orang susah. Sebab bila ada orang susah je semua pakat nak bantu. Biar semua orang ada mentaliti nak tolong orang lain macam Ebit Lew. Ini yang saya cuba pupuk pada anak-anak pelajar saya.

Saat ada orang kondem cikgu-cikgu makan gaji buta, sebenarnya saya nak beritahu pada semua orang bahawa ramai cikgu-cikgu yang bantu bagi makan budak-budak susah yang tiada duit nak makan kat kantin, bayarkan yuran asrama budak-budak susah, belikan peralatan menulis percuma untuk calon SPM, bahkan ramai juga yang aktif bagi bantuan buat keluarga yang terkesan masa PKP ni. Contoh terbaik ialah Cikgu Mohd Fadli Salleh.

Hanya yang kenal siapa ‘cikgu’ sahaja tahu macam mana baiknya ‘cikgu-cikgu’ kat Malaysia ni. Kalau betul mereka kenal cikgu, takkan ada yang sampai hati nak ketawakan cikgu dia.

#Nak minta rakan-rakan bantu saya share kisah ini supaya lebih ramai orang sedar apa sebenarnya yang cikgu buat masa PKP ni bukan just makan gaji buta.

Dan, semoga lebih banyak sekolah/asrama boleh laksanakan idea ‘Food Bank’. Saya ulang sekali lagi...‘sekolah/asrama bukanlah tempat untuk murid berlapar!

Sumber: Facebook Muhammad Yusof

Artikel menarik

Persediaan hadapi pertandingan bahas dan pidato, guru ini komited latih pelajar secara maya

Amalan membuat keputusan dalam kalangan pengetua dan guru besar, Cikgu Osman kongsi tipnya!