DALAM mewujudkan sebuah pembelajaran yang bermakna, murid tidak lagi berfokus kepada pembinaan kognitif semata-mata malahan membangunkan kemahiran abad ke 21 dalam diri mereka.

Kemahiran komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti merupakan kemahiran yang harus dikuasai oleh murid sejak awal persekolahan.

Kepentingan menguasai kemahiran abad ke 21 ini bertujuan untuk menyediakan murid ke arah Revolusi Industri 4.0 serta keboleh pasaran pekerja yang amat dititik berat oleh pemain-pemain ekonomi.

Menurut kajian (Ali, Joyce & Ellison, 2014), kekurangan pelaksanaan pengajaran berasaskan kemahiran lembut (Soft skill) menyebabkan peluang pelajar pengajian tinggi dalam bidang pekerjaan adalah terbatas.

Bagi mengelakkan situasi tersebut belaku, para guru perlu memahami konsep pembelajaran abad ke 21 serta keperluan dalam Revolusi Industri 4.0 supaya kita dapat melahirkan pelajar yang kompeten dalam kemahiran tersebut sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sepanjang tempoh PKP, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewartakan garis panduan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan kandungan garis panduan tersebut, perkara pokok dalam penyampaian pengetahuan adalah menyediakan perancangan pengajaran (Per. 5.2.2) serta menyediakan bahan PdP yang sesuai dengan keperluan murid (Per. 5.2.3).

Kedua-dua perkara perlu dititik berat oleh guru memandangkan murid boleh belajar pada bila-bila masa ketika di rumah serta kurangnya komunikasi bersemuka antara murid dengan guru khususnya pada peringkat rendah dan menengah yang menjadi ‘New Normal’ kepada warga pendidik.

Bagi mengatasi masalah tersebut, mewujudkan sebuah sistem pengurusan pembelajaran harus dilaksanakan pada kedua-dua peringkat pengajian yang mampu membantu guru menyampaikan pengetahuan dan sumber pembelajaran serta membantu murid dalam memandu pembelajaran yang terdapat dalam satu-satu topik.

Sistem pengurusan pembelajaran (LMS) merupakan istilah yang tidak asing di peringkat pengajian tinggi dan digunakan secara meluas memandangkan terdapat pelajar-pelajar yang belajar diluar kampus (McGill& Klobas, 2009).

LMS merupakan aplikasi yang membantu melaksanakan pelbagai perkara termasuk menguruskan bahan kursus, berhubung setiap murid, mengurus pentaksiran, mendapatkan maklum balas murid serta merancang komunikasi antara guru, murid dan bahan pembelajaran (Cleveland-Innes & Wilton, 2018; Walker et. al., 2016).

Bagi menyediakan sebuah LMS, guru perlu merancangan aktiviti yang sesuai berdasarkan rancangan pengajaran tahunan serta silibus yang disediakan oleh pihak KPM.

Guru perlu mempertimbangkan sumber pembelajaran dan langkah pentaksiran yang sesuai dengan murid-murid.

Langkah seterusnya, guru boleh menyusun bahan tersebut menggunakan pelantar rasmi KPM dan pelaksanaan tugasan secara mingguan. Ia merupakan tindakan yang wajar kerana terdapat peningkatan impak terhadap pelajar dan pensyarah melalui penggunaan LMS (Simonson, 2007).

Pelaksanaan LMS membolehkan murid melaksanakan pembelajaran kendiri atau pembelajaran teradun secara asynchronous bagi mengakses sumber pembelajaran yang disediakan oleh guru.

Tugasan yang bersifat induktif berasaskan model taksonomi bloom membolehkan murid meneroka maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat sebarang kesimpulan, mampu merangsang pemikiran kritis dan kreatif murid.

LMS juga memudahkan komunikasi antara murid, guru dan bahan pembelajaran di mana guru dapat memandu pemahaman murid terhadap resos yang disediakan.

Pada pihak guru, penyediaan bahan pembelajaran secara sistematik dalam LMS membolehkan guru memberi tumpuan terhadap pembangunan Softskill murid berbanding pengamalan tradisional yang berfokus kepada penyampaian kandungan dan latih tubi semata-mata.

Oleh yang demikian, LMS membantu guru dalam menyampaikan bahan pembelajaran dengan efektif serta memberi ruang masa untuk merangsang kemahiran murid. Ia turut membantu murid dalam melaksanakan pembelajaran kendiri  kerana akses resos pembelajaran yang disediakan dalam LMS.

LMS yang bersifat Cloud boleh diakses oleh murid di mana-mana tanpa mengira masa. Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.

BIBLIOGRAFI

1. Ali, M. F., Joyes, G., & Ellison, L. (2014). Building effective small-group team working skill through blended learning at Malaysia Tertiary Institution. Procedia-social and behavioral sciences, 112, 997-1009.   

2. Walker, D. S., Lindner, J. R., Murphrey, T. P., & Dooley, K. (2016). Learning management system usage. Quarterly Review of Distance Education, 17(2), 41-50.

3. Cleveland-Innes, M., & Wilton, D. (2018). Guide to blended learning.

4. McGill,T., & Klobas, J. (2009). A task–technology fit view of learning management system impact. Computers & Education, 52(2), 496–508

5. Simonson, M. (2007). Course management systems. Quarterly Review of Distance Education, 8(1), vii–ix

 

Oleh;

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital Pasir Gudang, Johor

Artikel berkaitan:

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi