Hasratnya sekadar berkongsi dan menyimpan kenangan bermakna, Muhammad Izwan Azwar, 18, tidak menyangka ciapan keputusan markah 100 peratus untuk subjek Matematik serta 97 peratus bagi Matematik Tambahan yang dikongsikan di Twitter baru-baru ini tular.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, Kuala Lumpur itu berkata, keputusan bagi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkenaan diperolehinya selepas dua minggu sesi persekolahan bermula.

“Secara jujurnya saya tidak menyangka bahawa ciapan itu akan tular kerana perkongsian keputusan itu sekadar untuk menyimpan kenangan di Twitter dan dapat menyebarkan kesedaran tentang kepentingan pembelajaran.

“Saya dan ahli keluarga amat terkejut selepas pulang dari sekolah di mana ciapan tersebut telah memperoleh 3,000 ulang kicau dan 15,000 tanda suka dalam tempoh 24 jam ia dimuat naik. Setakat ini ciapan tersebut telah mencecah 8,000 ulang kicau dan lebih 31,000 tanda suka di Twitter,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Ditanya mengenai tip memperoleh markah penuh khususnya bagi subjek Matematik Tambahan, Izwan menjelaskan  ia memerlukan latihan dan fokus jelas ketika sesi pembelajaran guru di sekolah, di samping turut mengikuti kelas tuisyen luar.

Tambah beliau, pada mulanya memang sukar untuk kuasai Matematik Tambahan berikutan kurang membuat latihan, selain mengakui terdapat segelintir pelajar yang berfikiran subjek tersebut susah walhal belum mencuba terlebih dahulu.

“Saya pernah gagal ujian pertama Matematik Tambahan ketika di Tingkatan Empat, jadi saya ambil keputusan untuk belajar di sebuah pusat tuisyen dan berjumpa dengan guru Matematik yang dikenali sebagai Sir Ven. Dari situ saya bertambah minat untuk belajar kedua-dua subjek ini kerana cara beliau mengajar amat menghiburkan dengan lawak jenakanya selain formula yang sangat ringkas serta padat.

“Kebiasaannya, selepas menyiapkan kerja sekolah saya akan luangkan masa empat jam membuat latihan Matematik Tambahan dan paling penting saya akan belajar sesuatu topik terlebih dahulu di YouTube supaya apabila cikgu mengajar saya tidak terkejut serta lebih mudah untuk faham,” katanya.

Tambah Muhammad Izwan lagi, ramai pengguna Twitter yang memberi maklum balas positif terhadap perkongsiannya termasuk memberikan kata-kata semangat untuk beliau terus berjaya dalam peperiksaan SPM nanti.

Pun begitu, anak muda yang bersemangat tinggi dan memiliki aura positif itu turut berdoa agar dapat menjawab semua kertas peperiksaan SPM dengan tenang dan sempurna, sekali gus melakar kecemerlangan membanggakan.