SAO PAULO - Sepuluh orang dilapor maut susulan insiden tembakan di sebuah sekolah di Brazil, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan ketika sesi rehat di sekolah awam Raul Brasil terletak di bandar Suzano, berhampiran Sao Paulo.

Komander Polis Sao Paulo Marcelo Salles berkata, dua penyerang yang juga bekas pelajar sekolah terbabit menyerbu masuk dan menembak mati dua kakitangan sekolah serta enam orang pelajar.

Menurut beliau, insiden tersebut merupakan antara yang terburuk pernah dialami sepanjang 30 tahun bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan.

Kedua-dua penyerang berusia 17 dan 25 tahun itu kemudian mencederakan 15 pelajar yang lain sebelum bertindak membunuh diri.

Motif serangan maut tersebut masih belum dapat dipastikan.  - BBC