PHNOM PENH, KEMBOJA - Seramai 120 pelajar masyarakat Islam minoriti di Kampung Jamuan dekat sini, kini mampu mendapatkan pendidikan lebih selesa dengan pembinaan Sekolah Agama Darul Iman.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, pembinaan sekolah baharu ini menelan belanja AS$30,000 yang sebahagiannya hasil sumbangan syarikat GLC Negeri Terengganu dan dan individu tertentu.

Katanya, sekolah berkenaan menempatkan pelajar dari usia 6 hingga 15 tahun serta beroperasi pada sesi pagi dan petang.

“Sebelum ini, kebanyakan pelajar yang miskin, anak-anak yatim dan mualaf ada yang tidak bersekolah. Ini sebab tahfiz sedia ada uzur dan tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai.

“Tambahan pula sekolah tahfiz tersebut tidak mempunyai kemudahan asas termasuk elektrik. Jadi diharapkan sekolah baru ini dapat memberi keselesaan kepada mereka untuk mendapat pendidikan sempurna,” katanya.

Menurut Mustapha, projek pembinaan sekolah ini bermula Februari lalu dan siap sepenuhnya awal November lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan untuk membantu membina satu tingkat sekolah lagi pada masa akan datang.

“Jumlah 120 pelajar adalah terlalu ramai dan kita terpaksa membahagikan waktu pagi dan petang.

"Sekiranya pembinaan itu dapat dilaksanakan, kita dapat buat satu sesi sahaja iaitu di sebelah pagi,” katanya.

Sementara itu, menceritakan mengenai nama sekolah, Mustapha berkata, ia dicetuskan sendiri oleh beliau.

“Saya lahir dan membesar di Terengganu tetapi ini bukan alasan saya. Sebenarnya ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih saya kepada syarikat GLC Negeri Terengganu, Syarikat Terengganu Inc dan Syarikat Epic (Oil & Gas) yang menyumbang serta menyokong usaha murni ini,” katanya.

Majlis perasmian sekolah ini disempurnakan Mustapha dengan dihadiri 300 penduduk kampung termasuk Ketua Kampung Manap Mohd Zin, Guru Besar Ramli Yusuf, guru dan NGO tempatan.

Sekolah Darul Iman dibina atas tanah seluas suku ekar berdekatan masjid dan setakat ini NGO Antarabangsa sudah membina tiga buah sekolah, lima masjid, 10 surau dan 3,500 perigi bagi kegunaan penduduk tempatan.