NEW DELHI - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun di bandar selatan Hyderabad di India menjadi terkenal secara tiba-tiba selepas fotonya tular di media sosial.

Gambar Divya yang pertama kali diterbitkan  menerusi akhbar Telegu pada  7 November lalu.

Divya dianggap sebagai ‘selebriti’ di kawasan setinggan tempat keluarganya tinggal. Kanak-kanak pemalu itu mula mendapat perhatian ramai selepas gambarnya memegang sebuah mangkuk dan mengintai dari luar bilik darjah di sebuah sekolah kerajaan. Imej menyayat hati itu diterbitkan menerusi akhbar Telugu pada 7 November lalu dengan kapsyen ‘renungan lapar’.

Ia dengan cepat menyentuh hati ramai orang malah aktivis  hak asasi manusia turut berkongsi tentangnya di Facebook dan  mendakwa Divya sebagai satu lagi contoh kanak-kanak yang dinafikan hak kepada makanan dan pendidikan.

Impak gambar itu sangat besar  kerana keesokan harinya Divya telah diterima memasuki sekolah  itu.

Dia turut membuka peluang  kepada rakan seusianya yang lain untuk bersekolah.

Bagaimanapun, bapanya, Lakshman berkata, gambar itu yang telah mencetuskan pelbagai  kritikan itu didakwa ‘tidak adil’ kepada dia dan isterinya.

“Saya sangat sedih apabila melihat foto itu. Divya ada ibu bapa dan kami bekerja keras untuk memastikan dia mendapat masa depan yang baik. Tetapi, gambar itu menggambarkannya sebagai anak yatim yang kelaparan,” katanya yang bekerja sebagai tukang sapu.

Menurutnya, dia menunggu anak perempuannya mencecah usia enam tahun sebelum mendaftarkannya ke hostel kerajaan di mana dua anaknya yang lain turut dihantar belajar di situ. Pasangan itu turut mempunyai anak lelaki yang sudah tamat bersekolah dan kini memohon kemasukan ke kolej.

Mahu makanan percuma

Divya dan keluarganya tinggal di pondok satu bilik di kawasan setinggan di bandar tengahtengah Hyderbad dan terletak kira-kira 100 meter dari sekolah kerajaan itu.

Lebih 300 keluarga yang tinggal di kawasan itu bekerja sebagai  buruh harian manakala anak mereka belajar di sekolah berhampiran.

Jelas Lakshman, dia dan isterinya memperoleh pendapatan kira-kira 10,000 Rupee (RM579) sebulan yang digunakan untuk membeli makanan dan pakaian manakala pendidikan untuk anak-anaknya adalah percuma.

“Saya pernah merasai kesusahan hidup kerana membesar tanpa ibu bapa. Saya tidak mahu anak-anak saya menerima nasib sama. Jadi, Saya pastikan kesemua
mereka pergi ke sekolah,” ujarnya.

Lakshman pada mulanya sedih dengan persepsi banyak pihak terhadap gambar anaknya yang mendapat perhatian ramai.

Tambahnya, dia turut menjaga lima anak saudaranya selepas kematian ibu bapa mereka. Ketika ditanya kenapa Divya ke sekolah itu sambil membawa mangkuk di tangan, Lakshman menjelaskan ramai kanak-kanak di kawasan setinggan itu ke sana kerana mahu mendapatkan makanan percuma di bawah program disediakan kerajaan.

“Dia tidak ke sana pada setiap hari dan kebetulan pada hari tersebut seseorang telah mengambil gambarnya,” jelas bapanya.

Perkara itu turut disahkan guru di sekolah terbabit yang mana lebihan makanan di bawah program itu akan diberikan kepada budak lain.

“Mereka sering ke sini memandangkan kebanyakannya tidak ditempatkan di pusat jagaan,” kata guru tersebut.

Lakhsman dan jirannya juga menyuarakan kekurangan ‘anganwadi’ atau pusat jagaan  harian ditaja kerajaan di kawasan kejiranan itu telah menjadi masalah besar kepada mereka terutamanya apabila terpaksa meninggalkan anak masing-masing untuk keluar bekerja.

Teruja pergi sekolah

Sementara itu, pemeriksa sekolah tempatan, SU Shivram Prasad berharap perhatian yang diperoleh daripada gambar Divya itu akan  mempercepatkan proses
pembukaan pusat jagaan terbabit.

“Ia dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan makanan  bernutrisi,” ujarnya.

Para guru juga mengharap ‘tuah’ daripada foto Divya untuk  meningkatkan kemudahan di sekolah terbabit berikutan ia berdepan kekurangan staf dan peralatan mengajar.

‘Selebriti’ kecil itu bagaimanapun teruja untuk ke sekolah.  Dia akan sentiasa membawa beg bersamanya ke mana sahaja. Gambar Divya itu juga membawa ‘tuah’ kepada rakan sebayanya.

“Kini, kanak-kanak lain yang seusia dengannya di kawasan kejiranan ini sudah mula memasuki sekolah. Melihat perkembangan itu sudah cukup buat saya gembira,” menurut Lakshman sambil tersenyum. - Agensi

Artikel Menarik:

Hanya seminggu, murid Tahun Dua ini sudah mampu kuasai semua subjek...ini rahsia ibunya buat

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

10 manfaat belajar awal pagi cara Cikgu Shahrul

Panduan mengemas meja guru agar kemas dan tersusun - Boleh rujuk tip yang dikongsi rakan guru