Chiang Rai - Pembantu jurulatih pasukan bola sepak remaja Wild Boars, Ekapol Chantawong menafikan beberapa laporan media mengatakan mangsa pertama dibawa keluar dari gua Tham Luang dipilih kerana berada dalam keadaan paling lemah.

Media tempatan dan antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Dr Richard Harris yang memeriksa 13 mangsa terperangkap di gua Tham Luang di utara Thailand, mengarahkan mangsa yang dalam keadaan paling lemah dibawa keluar terlebih dahulu.

Adul Sam-on (tengah), salah seorang dari dua belas pelajar yang juga pemain bola sepak remaja Thailand dan jurulatih yang berjaya diselamatkan dari gua Thai
selepas terperangkap selama lebih dua minggu, bercakap ketika sidang akhbar di Chiang Rai selepas mereka keluar dari hospital.

Sebaliknya Ekapol berkata, mangsa yang tinggal jauh diberi lampu hijau untuk keluar terlebih dahulu supaya boleh menunggang basikal untuk memaklumkan keluarga dan pihak berkuasa bahawa mereka dalam keadaan selamat.

"Ketika diselamatkan.. kami semua berada dalam keadaan sihat dan kuat, tiada yang sakit atau lemah.

"Jadi kami memutuskan siapa yang tinggal jauh, dialah yang perlu keluar terlebih dahulu, supaya dia boleh menunggang basikal dan memaklumkan kepada keluarga bahawa kami akan pulang ke rumah tidak lama lagi," ujar Ekapol.

Pelajar yang juga bola sepak 'Wild Boars' yang terperangkap bersarapan sebelum acara keagamaan di Kuil Mae Sai.

Ketika memutuskan perkara itu, Ekapol dan 12 pelajar yang berumur antara 11 dan 16 tahun tidak menyedari bahawa kisah mereka terperangkap selama 18 hari di gua Tham Luang telah menjadi tumpuan dunia.

Kesemua mereka memasuki gua Tham Luang pada 23 Jun lalu, namun terperangkap selepas hujan monsun melanda wilayah Chiang Rai menyebabkan kenaikan paras air dalam sistem gua tersebut naik mendadak.

Usaha menyelamat mengambil masa tiga hari bermula pada 1 Julai lalu melibatkan kepakaran pasukan Seal dari Tentera Laut Thailand dan pasukan penyelam pakar antarabangsa.