BEIJING - Seramai 23 kanak-kanak tadika terpaksa dikejarkan ke hospital selepas diracun guru mereka sendiri dalam kejadian di tengah China pada minggu lalu.

Guru tersebut dipercayai cuba membalas dendam terhadap rakannya selepas mereka terlibat dalam satu pertengkaran.

Media tempatan melaporkan dia mencampurkan natrium nitrit, sejenis bahan kimia tambahan yang biasa digunakan untuk mengawet daging, ke dalam bubur yang disediakan untuk kesemua kanak-kanak di tadika Meng Meng terbabit.

Kesemua mereka kemudiannya dilaporkan jatuh sakit selepas menunjukkan simptom muntah-muntah dan turut pengsan sejurus menikmati menu sarapan pagi.

Susulan kejadian itu, guru terbabit telah ditahan pihak berkuasa selepas siasatan awal menemui bahan kimia itu pada paras yang tinggi.

Difahamkan, tadika itu telah ditutup sementara dan kumpulan kanak-kanak tersebut turut dipindahkan ke pusat taman didikan yang lain. - Agensi

Artikel berkaitan:

Murid meninggal mangsa langgar lari, gambar ibu tidur atas kubur tular buat netizen sebak