BALODA BAZAR - Pasangan kembar siam Shivanath dan Shivram Sahu yang menyambut harijadi ke-18 baru-baru ini berkata, tiada langsung rasa kesal setelah  mereka menolak tawaran menjalani pembedahan bagi memisahkan mereka.

Berasal dari Kampung Khenda di daerah Baloda Bazar India, pasangan kembar siam terbabit mula mendapat perhatian ramai setelah video menunjukkan mereka menguruskan diri sendiri dikongsi di laman sosial pada tahun 2014.

Ekoran penyebaran video tersebut, pasangan kembar siam  yang bercantum di bahagian pinggang dan berkongsi sepasang  kaki itu telah didatangi beberapa orang doktor yang menawarkan khidmat untuk menjalankan pembedahan bagi memisahkan mereka.

Namun, kedua-dua mereka enggan dipisahkan dan nekad  untuk meneruskan kehidupan  sebagai pasangan kembar siam. 

Shivanath dan Shivram kini dilaporkan terlalu tua untuk menjalani pembedahan berkenaan, namun mereka tetap gembira  dengan keputusan yang telah diambil.

"Kami tidak mahu berpisah, apa yang kami miliki ialah anugerah istimewa daripada Tuhan dan kami umpama dua jasad yang  mempunyai satu jiwa," kata pasangan kembar berkenaan ketika temuramah bersama stesen televisyen, Barcroft TV.

Walaupun terpaksa menjalani kehidupan berbeza daripada  orang normal, Shivanath dan  Shivram mampu menguruskan keperluan seharian mereka termasuk mandi, makan dan merapikan diri.

Anak kepada pasangan Raj Kumar dan Srimati itu juga merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah dan menjadi kebanggaan keluarga.

Selain itu, keistimewaan yang dimiliki turut menjadikan mereka kesayangan penduduk kampung - Agensi