LAGOS - Sekurang - kurangnya 10 maut manakala ramai lagi dikhuatiri terperangkap susulan runtuhan sekolah di Lagos, kelmarin.

Sekolah terbabit yang terletak di tingkat atas sebuah bangunan empat tingkat di Ita Fiji, Pulau Lagos mempunyai lebih 100 pelajar.

Menurut pihak berkuasa, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan itu, sejumlah 40 pelajar berjaya ditarik keluar dari lokasi runtuhan terbabit.

Bangunan berkenaan merupakan blok kediaman yang menempatkan apartmen dan sekolah, dan menurut Agensi Kawalan Bangunan, ia termasuk dalam senarai bangunan untuk dimusnahkan.

Sementara itu, pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan beberapa pelajar cedera daripada runtuhan, namun ramai ibu bapa masih gagal menemui anak masing-masing.

Keadaan lokasi kejadian yang dipenuhi orang awam yang cuba membantu mangsa menambah kesesakan dan menyukarkan misi menyelamat.

Runtuhan bangunan sering terjadi di Nigeria akibat penggunaan bahan pembinaan yang kurang bermutu. - BBC