CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND - “Saya menjadi saksi wajah jenazah sangat bersih seperti tidur sahaja walaupun sudah seminggu pergi."

Demikian cerita seorang lelaki menggunakan nama Putera Sriwijaya dalam laman Facebook menceritakan detik pengebumian Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Menurut Putera, dia bersyukur kerana berpeluang mengusung keranda dan menurunkan jenazah remaja tersebut ke dalam liang lahad.

“Saya menjadi saksi wajah jenazah sangat bersih seperti tidur sahaja walaupun sudah seminggu pergi. Hidung dan bibir merah seperti masih hidup. Masya-Allah.

“Barangkali ada amalan arwah ketika hidupnya sehingga terpilih untuk mati dalam keadaan husnul khotimah,” tulisnya.

Beliau turut berkongsi sekeping gambar, namun tidak mengambilnya berdekatan tempat pengebumian bagi menghormati keluarga Mohd Tarmizi Mohd Shuib.

Status Putera turut menyatakan ribuan orang hadir ke Memorial Park Cemetery, Christchurch untuk solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir.

“Rakyat tempatan bukan Islam juga hadir. Pengebumian dibuat secara berperingkat kerana terlalu ramai mangsa dan tidak ramai sukarelawan berpengalaman menguruskan jenazah serta kekurangan kelengkapan.

“Jenazah Allahyarham Daud Nabi (Hello brother) dari Afghanistan juga selamat dikebumikan sebentar tadi (semalam). Kematian yang dicemburui," tulisnya.

Jenazah Muhammad Haziq selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurh selepas Zuhur waktu tempatan, semalam.

Ini pula komen tiga mufti berkenaan kematian Haziq https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/tergolong-syahid-akhirat-komen-tiga-mufti-mengenai-kematian-muhammad-haziq-1.924178