MADURA - Baru-baru ini sekeping gambar seorang pelajar sekolah di Indonesia menggendong anak kecil di dalam kelas menjadi tular di media sosial.

Foto tersebut dimuat naik Khamis minggu lalu, menerusi akaun Facebook seorang guru bernama Lindya Putri Kurniawati, yang bertugas di SDN Palenggiyan 1, Sampang, Madura.

Gambar berkenaan menunjukkan Muhammad Zainatul Fata atau lebih mesra dipanggil Fata sedang menggendong adik sepupunya yang berusia 2 tahun di dalam kelas.

Menurut Lindya, Fata terpaksa membawa adik sepupunya ke sekolah kerana kedua ibu bapanya dan anak kecil itu bekerja di luar kota.

Tindakan pelajar berusia 10 tahun itu membawa anak kecil tidak disenangi pihak sekolah, namun jika terus dilarang mereka tidak hadir sekolah.

"Selain Fata terdapat 10 pelajar lain yang turut membawa adik mereka ke sekolah," kata guru itu sambil menambah, adik sepupu Fata tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di dalam kelas.