Biarpun kebanyakan pelajar kini mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), namun ia bukan penghalang semangat Pembantu Pengurusan Murid Pra Sekolah, Sekolah Kebangsaan Felda Kepis, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Hasnah Hud, 39, untuk mempamerkan kreativiti dimiliki menerusi lukisan mural dihasilkan.

Beliau berkata, minat mendalamnya terhadap seni lukis antara faktor mendorongnya menghasilkan lukisan mural bertemakan Candy pada dinding bangunan bilik pra sekolah, pada masa sama mahu menarik minat dan keseronokan murid untuk hadir ke sekolah.

“Kita sedia maklum anak-anak kecil ini sukakan sesuatu yang menarik jadi tema Candy ini sangat dekat dengan mereka dan memang idea asal saya sendiri bahkan kreativiti sebegini mampu pupuk minat murid untuk belajar dalam suasana lebih seronok di sekolah.

“Sebenarnya ini adalah bangunan lama yang baru sahaja digunakan, oleh itu saya selalu berusaha utuk mencari idea baharu menerusi Google dan pembacaan lain untuk hasilkan sesuatu yang kreatif, cantik dan memiliki tarikan tersendiri,” katanya.

Menurut Hasnah lagi, walaupun idea dan penghasilan mural tersebut dilakukan sepenuh olehnya namun beliau amat berterima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah yang sentiasa memberi sokongan padu terutama membabitkan bantuan dana dan sokongan moral.

“Tidak dinafikan kalau saya seorang sahaja mungkin tidak mampu laksanakan seperti ini tetapi Guru besar (A Zaidey Ibrahim), guru penolong kanan, guru-guru dan warga sekolah banyak membantu menyokong usaha dan minat ini apatah lagi ia untuk kebaikan kami bersama.

“Lukisan ini saya lakukan sedikit demi sedikit (bahagian tertentu) terlebih dahulu, jadi apabila siap sepenuhnya, saya rasa puas dan gembira sebab buat sesuatu yang amat saya minati,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Hasnah menjelaskan beliau mendapat banyak maklum balas positif daripada rakan-rakan dari sekolah lain setelah menerusi perkongsian yang di muat naik di Facebook.

Pada masa sama, besar harapannya agar ilmu dimiliki dapat dikongsi dan dimanfaatkan khususnya bagi rakan pembantu guru di sekolah lain.

“Saya ada juga menerima mesej daripada kawan-kawan ada yang memuji pun begitu ada yang meminta idea untuk mereka laksanakan pula di sekolah masing-masing. Rasa seronok dan berbaloi sebab dapat kongsi ilmu serta beri manfaat kepada orang lain,” katanya.