BATU PAHAT - Keadaannya yang lumpuh separuh badan sejak dilahirkan tidak menghalang Muhammad Izzat Hanafi Suhaili untuk terus menuntut ilmu dan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang buatnya.

Menurut Muhammad Izzat, 18, dia cukup gembira setelah diterima bagi merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui program Diploma Teknologi Maklumat.

Katanya yang sebelum ini mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kelas pendidikan khas di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong, Muar, dia mengalami masalah kesukaran untuk menggerakkan tangan dan ketidakupayaan menggerakkan kakinya.

"Saya memilih belajar di UTHM kerana universiti ini sememangnya mempunyai tenaga pengajar yang profesional dalam bidang teknologi maklumat, dan ia merupakan pilihan utama saya ketika memohon untuk kemasukan ke universiti sebelum ini.

"Memang bukan mudah untuk orang kelainan upaya (OKU) seperti saya menyambung pengajian di universiti kerana saya sentiasa memerlukan bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan seharian, tetapi saya sedia menyahut cabaran ini,” katanya ketika program Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM), di Dewan Konvensyen UTHM, hari ini.

Tambah Muhammad Izzat, sebab utama dia memilih UTHM untuk melanjutkan pengajiannya apabila mengetahui universiti berkenaan ada menyediakan kemudahan dan fasiliti yang lengkap kepada golongan OKU bagi memudahkan urusan masing-masing terutama untuk ke kuliah.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Prof Madya Dr Zaidi Embong yang juga golongan OKU, menyatakan UTHM termasuk di Kampus Pagoh, Muar sememangnya menyediakan kemudahan yang sepatutnya supaya golongan ini dapat belajar dengan selesa sehingga tamat pengajian.

"Pihak universiti ini dan warganya sangat prihatin terhadap golongan seperti kami, ditambah pula dengan kewujudan rakan-rakan sekeliling yang selalu membantu memudahkan pergerakan saya ke kelas untuk mengajar,” katanya.

Sementara itu, dia yang baharu sahaja mendaftar di UTHM pada 30 Jun lalu pernah mewakili sekolah dalam pertandingan yang bertemakan teknologi maklumat kategori Pendidikan Khas di peringkat kebangsaan dan berjaya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Pelajar ini juga menyatakan harapannya untuk menjadi seorang penuntut yang cemerlang sekali gus dapat membanggakan ibu dan ayah serta universiti.

Baca:

'Pihak sekolah, ibu bapa perlu periksa bas sebelum sewa' - PPIK

Rupa-rupanya ini guru tari di sebalik tular tarian 'Sep Sep Tom Tom' anak-anak Genius Seni

SK Laksamana wakil Johor Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019

Tak sempat kembali bertugas di SK Medini, Cikgu Adam maut dirempuh kereta

'Kami bukan mengajar sahaja tapi juga mendidik' - Cikgu Ridzuan coret dua kisah sebagai pengajaran