KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abd Aziz kesal dengan tindakan pihak menceroboh ke kawasan sekolah berkenaan, pagi semalam.

Beliau berkata, kejadian itu amat mendukacitakan kerana ia jelas satu jenayah serius terhadap kepentingan hartanah dan sekolah tersebut.

"Saya ulangi bahawa sesuai dengan amanat Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, status Darul Anuar jelas, ia diamanahkan untuk dikendalikan pihak Lembaga Pengarah.

"Tidak pernah dalam apa juga keadaan atau kenyataan atau bukti bertulis bahawa Darul Anuar diserahkan kepada mana-mana pihak selain Lembaga Pengarah yang telah dan sedang menjalankan semua tadbir urus Darul Anuar sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jam 6 pagi itu, terdapat suspek memecah pintu sekolah dan menceroboh kawasan bangunan serta pejabat pentadbiran Darul Anuar.

Selain menceroboh, pelaku jenayah itu turut memecah masuk ruang pejabat menggeledah peralatan milik Darul Anuar.

Mengulas lanjut kejadian itu, Nik Omar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

"Pihak Lembaga Pengarah sedang menyiasat sekiranya berlaku kecurian atau kemusnahan terhadap dokumen penting milik Darul Anuar dan akan buat laporan polis berikutan pencerobohan awal pagi tadi (semalam).

"Kami juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak luar yang muncul pada jam 8 pagi tadi (semalam ) dan mengambil alih secara tidak berperundangan," katanya.

Mengulas kemunculan pihak luar itu, beliau berkata, tidak wajar mereka datang dan merampas pentadbiran Darul Anuar dengan menghalau kakitangan diamanahkan Lembaga Pengarah untuk menjaga sekolah berkenaan.

Menurutnya, tindakan ceroboh, merosakkan harta benda, menggeledah dan mengambil alih tanpa etika serta bersifat jenayah itu tidak sepatutnya berlaku.

"Semua pihak patut berhemah dan mengutamakan akhlak agama dengan membiarkan undang-undang menyelesaikan krisis ini tanpa sebarang perlakuan kasar dan tidak bermoral. Saya amat kesal dengan perbuatan ini," katanya.

Kemelut pemilikan Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka itu tercetus susulan penularan satu surat bahawa ia bakal diambil alih Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada Januari 2019.

Ia disahkan keluarga besar Allahyarham Nik Abdul Aziz yang kemudian dinafikan Nik Omar, yang menegaskan beliau sebagai pemegang amanah arwah bapanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Maahad Darul Anuar, Mejar Zaidi Abdul Halim berkata, ketika tiba di pejabat jam 8 pagi, beliau mendapati lebih 40 individu yang bukan kakitangan berada di sekitar bangunan sekolah berkenaan.

Menurutnya, dia cuba naik melihat apa yang berlaku, namun dihalang individu tidak dikenali.

"Saya tetap naik juga untuk melihat apa berlaku, terutama keselamatan Nik Omar dan kakitangan kami yang berada di atas.

“Tapi nasib baiklah, Nik Omar tiada di tempat kejadian dan kakitangan lain juga tidak cedera, cuma kelihatan takut saja,” katanya.

 

***Jika anda ingin menyumbangkan berita atau artikel
berkaitan dunia persekolahan boleh emelkan kepada
[email protected]