KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berharap agar mahasiswa terus cakna dan bersiap sedia secara individu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang masalah semasa pulang berhari raya ke kediaman masing-masing.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, sudah tentunya keputusan membenarkan mahasiswa pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri itu adalah besar impaknya terutamanya kepada pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam perihal logistik dan keselamatan mahasiswa.

“Meskipun begitu, kami percaya dengan pengalaman semasa Ops Hantar Pulang pada tahun lalu sudah memadai untuk setiap IPT bersiap sedia dengan lebih baik pada kali ini.

“Oleh itu, pematuhan SOP amatlah penting semasa pergerakan pulang mahasiswa pada kali ini dan MPPK berharap agar semuanya dipermudahkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi negeri Sarawak.

Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021 manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pada 15 hingga 20 Mei 2021.

Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK menyambut baik keputusan yang dibuat KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu yang  sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada pelajar di kampus.

“Pengumuman ini membolehkan mereka menyambut hari raya bersama keluarga, terutamanya bagi pelajar yang sudah lama tidak pulang ke kediaman masing-masing.

“MPPK mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada pihak KPT, MKN dan setiap IPT atas kecaknaan terhadap situasi pelajar dan kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan selagi mana kita masih memerangi Covid-19,” katanya.

Artikel menarik

Pelajar IPT dibenar pulang ke rumah sempena Aidilfitri

Pentaksiran disifatkan pendekatan terbaik, bantu perkembangan murid secara holistik - Pakar