RAUB - Mangsa yang dilarikan lelaki menyamar polis baru-baru ini mahu melupakan episod hitam itu dan menganggap kejadian menimpanya sebagai ketentuan Allah.

Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, kini dikatakan dalam fasa pemulihan semangat selepas dilarikan individu yang dikenali sebagai Faiz dan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ruan itu ingin menumpukan perhatian terhadap pelajaran demi masa depan.

Menurutnya, selama kira-kira tiga hari ditawan, suspek mengajaknya berkahwin namun ajakan tersebut ditolak manakala gelang dan rantai emas miliknya diambil lelaki digelar ‘Sarjan Faiz’ itu.

“Yang lepas biarlah berlalu, saya tak mahu lagi bercakap soal itu. Apa yang penting dia (suspek) sudah ditangkap dan saya akan memulakan persekolahan minggu depan selepas habis cuti sakit yang diberikan Hospital Kuala Lipis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, ibunya Wan Maziah Wan Mat, 38, berkata keluarganya bersyukur apabila suspek ditahan polis sekali gus menyelesaikan kes membabitkan anak sulung daripada empat beradik itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan lega orang jahat itu dah ditahan. Saya akan lebih berhati-hati berdepan orang tak dikenali selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki berusia 32 tahun dan beralamat di Taman Bukit Indah, Bentong itu ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh pada 2.05 pagi, Sabtu lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah di Mentakab, Brinchang, Pekan serta negeri lain iaitu di Bakri, Johor, Chukai, Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Suspek yang ditahan reman empar hari sehingga Jumaat ini mempunyai rekod jenayah lampau babitkan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, penipuan, mencabul, rogol dan mencuri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 363 dan 170 Kanun Keseksaan kerana menculik serta menyamar sebagai penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, baru-baru ini.

Pada 29 Disember lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan Nur Syaminn selepas dia dikatakan dibawa suspek terbabit kononnya untuk membantu mengambil motosikal yang dibeli di pekan Sungai Ruan dengan meminta izin kepada ibu mangsa di rumahnya kira-kira 11 pagi, pada 27 Disember.

Pada kira-kira jam 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi Wan Maziah memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek terbabit sebelum talian dimatikan.

Gadis itu ditemukan selamat di stesen bas di bandar Raub  pada jam 11.05 pagi selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur, 29 Disember lalu,