SHAH ALAM - Majlis Apresiasi Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana yang diadakan di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah di sini, Sabtu lalu berlangsung dengan cukup meriah.

Majlis itu diadakan bagi meraikan, mengiktiraf dan juga sebagai perangsang kepada murid untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi kelak.

Guru Besar SK Puncak Perdana, Kamarul Hisham Hashim berkata, majlis itu juga diharap mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia penuh makna dalam lipatan sejarah hidup mereka di sekolah rendah.

Kamarul Hisham berharap, majlis itu dapat membuatkan murid-murid tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik SK Puncak Perdana.

Kamarul Hisham (duduk tiga dari kanan) dan Mohd Amin (duduk dua dari kanan) bersama guru-guru yang menjadi tulang belakang penganjuran majlis serta bertungkus-lumus untuk kecemerlangan murid Tahun 6.

"Tahniah diucapkan kepada para guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar. Sebenarnya majlis ini dan alam persekolahan di sekolah menengah yang bakal ditempuhi hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang bakal diterokai.

"Di hadapan nanti terbentang pelbagai ranjau, duri dan rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan. Semangat perjuangan dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan kalian meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah,"katanya.

Persembahan koir yang memukau hadirin pada majlis berkenaan

Pada majlis itu, seramai 99 murid menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG SK Puncak Perdana, Mohd Amin Yahya.

Sementara itu, Kamarul Hisham berkata, pihak sekolah berharap jumlah murid yang memperoleh keputusan 6A UPSR meningkat berbanding tahun lalu.

Katanya, ia bersandarkan kepada usaha yang telah dilaksanakan antaranya bengkel teknik menjawab soalan, ceramah motivasi, siri-siri ujian dan percubaan, kelas tambahan pada hari Rabu, Sabtu dan pada sebelah malam, gerak gempur, dan solat hajat .

"Murid-murid ini merupakan sandaran dan harapan utama sekolah dalam pencapaian kecemerlangan UPSR yang akan diketahui pada bulan November nanti.

"Apa pun keputusan yang akan diperoleh nanti, sesungguhnya itu adalah hasil usaha penat lelah kalian selama enam tahun menuntut ilmu. Masih ada ruang dan kesempatan untuk berdoa semoga kejayaan yang diimpikan selama ini bakal menjadi kenyataan,"katanya.  

Artikel lain:

Peserta bengkel Cikguku Cantik teruja dapat sumbangan Shopee

Tiga jenis makanan ini bantu kuatkan daya ingatan...nombor satu senang nak cari

Ustaz Malik dari SK Kampung Jepak kembali lagi! Kali ini mengenai misteri sebilah keris pusaka