Prihatin terhadap pengorbanan yang dilakukan petugas barisan hadapan dalam membantu negara mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19), Majlis Guru Besar (MGB) Selangor terpanggil untuk menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000.20 menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya memuji inisiatif dilakukan MGB Selangor yang disifatkan memiliki jiwa dan nurani dalam membantu petugas barisan hadapan ketika negara berdepan dengan wabak itu.

Menurutnya, sumbangan daripada rakyat untuk rakyat menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 itu diharapkan dapat membantu mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Malah sumbangan ini juga merupakan bantuan untuk meringankan beban kerajaan secara khususnya kerana kita sebenarnya tidak menjangka pandemik ini berlaku dengan cukup dahsyat.

“Bukan negara kita sahaja yang terlibat dengan wabak berbahaya ini bahkan di seluruh dunia. Begitupun dengan hati dan nurani rakyat yang suka menghulurkan sumbangan serta bantuan, sedikit sebanyak mampu meringankan beban golongan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan replika cek MGB Selangor kepada Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Penyelaras Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian, Auzani Fickry; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail; Timbalan Yang Dipertua MGB Selangor, Nor Azmi Rahmat dan Naib Yang Dipertua MGB Selangor, Abdul Rahman Marhaban.

Pada majlis itu juga, Kementerian Pendidikan turut menerima 2,000 naskhah al-Quran Projek Wakaf Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersempena program World #QuranHour yang dilaksanakan di seluruh dunia semalam.

Artikel berkaitan:

Hanya tumpu kelas peperiksaan, belum ada perancangan untuk pelajar lain - KPM

Cikgu boleh ikut SOP ini jika terima kunjungan bekas pelajar pada Aidilfitri

Selagi PnP boleh dilaksana, cikgu tak perlu bimbang jika berada di luar stesen bertugas

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Sekolah perlu rancang SOP sendiri, pastikan pelajar patuh jarak sosial