GOMBAK - "Berat hati nak lepaskan dia belajar jauh-jauh tapi demi masa depannya saya relakan,” luah seorang ibu, Che Esah Mohamad,50 yang menghantar anaknya ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak bagi sesi kemasukan tingkatan 1, pagi semalam.

Che Esah dari Pengkalan Kubor Kelantan berkata, dia meminta anak keempatnya, Nurhanani Razak, 13, untuk menyambung pelajaran di sekolah sekitar Kelantan sahaja memandangkan keadaan ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan.

Namun menurutnya, selepas dinasihati keluarga dia akur dan berharap anaknya yang peroleh 6A dalam UPSR mampu meneruskan kecemerlangan.

“Saya kata pada dia (Norhanani) tak payah sekolah jauh, saya tak ada duit.. tapi selepas dipujuk anak-anak yang lain juga makciknya yang berada di Gombak saya lepaskan dia.

“Saya tak mampu kerana tidak bekerja tetap, kos daftar dan belanja sekolah pun makciknya yang uruskan,” katanya yang mengalirkan air mata kesedihan.

Dia ditemui ketika tinjauan hari pertama pendaftaran pelajar B40 SBPI Gombak oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan, Aidie Jantan.

Che Esah berkata, Norhanani turut mempunyai kembar, Norhanana namun belajar di sekolah harian di Taman Melawati dan tinggal bersama mak ciknya di Gombak.

“Mereka kembar dan tidak biasa berjauhan, walaupun tak sama sekolah tapi bila dekat mereka boleh berjumpa pada hujung minggu.

“Saya harap Hanani dapat gunakan peluang yang ada untuk belajar dan berdikari. Tak semua dapat peluang belajar di sekolah yang baik, soal duit insya-Allah kami akan usahakan asalkan dia berjaya,” katanya.

Mahu jadi pensyarah

Sementara itu, Norhanani yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah berkata, dia gembira selepas terpilih memasuki SBPI, sekolah yang memberikan kemudahan serba lengkap dan terkini dalam pembelajaran.

“Saya tak pasang impian nak sekolah di sini dan tak kisah bersekolah di mana-mana sekalipun tapi lepas dapat surat tawaran saya gembira dan bersyukur.. Saya janji belajar bersungguh-sungguh untuk bantu keluarga,” katanya.

Tamam (kanan) bersama isteri dan anak hadir semasa sesi perndaftaran tingkatan 1, SBPI Gombak.

Seorang bapa dari Lembah Subang, Tamam Hasan, 54, yang turut menghantar anak bongsunya, Aziz Hafiz ketika sesi pendaftaran semalam menyokong minat anaknya dalam pelajaran dan mahu anaknya berjaya dunia dan akhirat.

“Dia anak bertuah berbanding yang lain cemerlang dalam pelajaran dan diberikan sekolah yang baik-baik. Adik beradiknya juga cemerlang cuma tak berpeluang belajar di sekolah
terbaik sepertinya.

“Hafiz dari kecil mendengar kata dan senang dibentuk jadi mudah untuk kami didik dia. Bila dia minta tuisyen kami tunaikan dan dia cemerlang dalam UPSR (6A) dan UPKK (8A),”   katanya yang membelanjakan hampir RM1,000 untuk persediaan kemasukan anaknya ke SBPI Gombak.

Aidie meninjau proses pendaftaran pelajar tingkatan satu SBPI Gombak.

Kemasukan SBP meningkat

Sementara itu, Aidie berkata, seramai 52.28 peratus atau 4,888 calon dari keluarga B40 ditempatkan di SBP seluruh negara bagi sesi persekolahan 2019 memunjukkan peningkatkan 15.34 peratus dari tahun sebelumnya.

“Ia selari dengan dasar kerajaan baharu membantu golongan kurang berkemampuan yang cemerlang akademik dan kokurikulum memperoleh pendidikan berkualiti dan kondusif.

“Sebagai mengurangkan beban keluarga, kementerian akan menyediakan bantuan seperti bayaran makanan asrama, pakaian dan keperluan sekolah serta biasiswa dari syarikat korporat serta kerajaan bagi yang layak,” katanya.

Aidie ketika ditemu bual media pada hari pertama pendaftaran ke Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, semalam.
 

Katanya, peluang terbuka kepada B40 diharap memberikan motivasi kepada pelajar meneruskan kecemerlangan dan meningkatkan taraf sosial keluarga.

“Pemilihan pelajar ini bukan hanya bergantung kepada keputusan UPSR semata-mata tetapi turut ditekankan dari aspek penilaian ujian temuduga kemasukan khususnya sejauh mana
persediaan pelajar itu sendiri tinggal di asrama.

“Langkah itu tepat disebabkan jumlah mereka yang keluar dari asrama tinggi kerana gagal menyesuaikan diri dengan jadual pembelajaran sekolah berasrama dan berjauhan dari keluarga ,” katanya.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ambilan pelajar ke sbp tahun ini, boleh baca temu bual khas bersama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Shaari Othman melalui link ini:

https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/pendidikan-sempurna-untuk-semua-kpm-tingkat-kemasukan-pelajar-dari-golongan-b40-ke-sbp-1.920357

Ibu bapa mendaftarkan anak mereka pada hari pertama pendaftaran sekolah Berasrama Penuh Tahun 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, semalam.

Dua pelajar sekolah menyusun atur kelengkapan di asrama pada hari pertama pendaftaran ke Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2019.

Aidie (kiri) membetulkan baju pelajar pada hari pertama pendaftaran.

Aidie beramah mesra bersama pelajar sekolah pada hari pertama pendaftaran ke Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, semalam.

Ibu bapa menghantar anak pada hari pertama pendaftaran ke Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2019.