SUDAH 34 tahun kisah ini berlaku.

Namun, Cikgu Nor Faisal Ishak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Unjur Klang masih mengingatinya hingga kini.

Menurutnya, keputusan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1985 itu, cukup menggembirakan hati.

"Tak sangka dapat keputusan cemerlang. Terima kasih mak, abah," katanya yang merupakan guru Bahasa Melayu Tahun Dua.

Ikuti kenangan terindah Cikgu Nor Faisal seperti yang dikongsi oleh beliau menerusi Facebook Pe Chey.  

**********

Nor Faisal bin Ishak.

Suara guru kelas aku tahun 1985, Puan Nathan menyebut nama dan memanggil aku ke hadapan kelas.

Slip keputusan Penilaian Darjah Lima tahun 1985 beralih tangan.

Aku pun ambil dan baca.

Bahasa Malaysia - A

Bahasa Inggeris - B

Matematik - A

Sains - A

Sejarah/Geografi - A

Aku rasa nak jerit, nak melompat, nak lari laju-laju. Tapi dalam kelas. Takkanlah buat kerja gila gitukan?

Cikgu Nathan yang garang macam singa tu, tersenyum.

"Congratulations Faisal, you do the good job."

Aku senyum.

"Thank you teacher."

Betapa air mata aku memang macam budak perempuan. Cepat mengalir. Manakan tidak, masa percubaan, keputusan aku teruk sangat.

1A

2B

2C

Aku kecewa masa percubaan. Aku kata pada diri, aku bukannya bengap sangat pun.

Balik hari tu, abah tunggu aku kat pagar sekolah. Dari jauh aku nampak muka abah yang garang tu tersengih. Aku dah tak boleh jalan. Aku terus lari dapatkan abah.

"Abah, tengok ni."

Aku serahkan slip keputusan pada abah.

Abah terus terpempan.

"Ya Allah Uda, Allahuakbar. Kau dapat 4A Uda. Allahuakbar."

Abah tak habis- habis menyebut Allah Maha Esa.

Abah peluk aku kuat. Tak pernah aku dapat pelukan macam tu dari abah. Abah menangis, dia dukung aku, julang aku. Ramai kawan yang ada di depan pagar melihat situasi tersebut.

Abah cium aku. Ternyata abah sangat seronok dengan keputusan yang aku capai. Kami balik naik motor honda C70 seluangnya. Abah sempat belikan aku sebungkus air jagung.

Cikgu Nor Faisal

Aku simpan air tu sebab nak minum dengan adik bila sampai di rumah nanti.

Mak dah menunggu di pintu rumah.

Dari jauh aku nampak dah mak tunggu aku dan abah balik. Sebaik abah berhentikan motor, aku melompat turun dan terus peluk mak. Aku tunjuk kat mak, keputusan aku.

Mak peluk aku, cium aku. Mak menangis.

Aku lap air mata mak.

Aku kata kat mak,

"Mak, Uda dah cuba dapatkan 5A tapi tuhan bagi Uda 4A je. Uda minta maaf mak."

Aku dan mak hujan air mata bersama. Abah yang saksikan adegan itu turut menangis peluk aku dan mak.

Aku, mak dan abah masuk ke dalam rumah. Aku bagi air jagung kat adik-adik. Kami minum sikit sorang tak bergaduh.

Mak dah masakkan sambal kering ikan tamban, pucuk ubi masak lemak, ulam jantung rebus dan sambal macang.

Lauk-lauk kegemaran aku, mak masak tengah hari tu.

Ini kisah 34 tahun dulu bila aku dapat keputusan Penilaian Darjah Lima. Betapa kenangan ini tetap berpaut kukuh di sanubari.

Mak dan abah sumber inspirasi aku mengejar kejayaan hinggalah aku berjaya mendakap Ijazah Sarjana Muda pada usia yang cukup tua iaitu 41 tahun.

Sumber: Facebook Pe Chey

Artikel Menarik:

Cikgu Fadli kongsikan 10 pesanan buat ibu bapa dan calon UPSR

'Apapun keputusan yang anak dapat dalam UPSR, peluklah dia' - Cikgu Zyd

Cikgu ini lahir kebimbangan bila lihat kehadiran murid ke sekolah makin merosot. Ini pesanan beliau

'Mohon jaga tutur kata, usap kepala anak dan berdoalah'- Pesan cikgu Emmet

Smartboard bantu guru mengajar dengan mudah. Murid pun suka