FUKUOKA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memukau pelajar lebih 2,000 pelajar sekolah tinggi yang menyertai ceramahnya pada Japan Future Leaders School (JFLS).  

Dalam ceramah itu beliau berkata, perasaan penuh semangat adalah kunci yang membimbing beliau untuk terus kekal mentadbir Malaysia.

“Anda perlu ada semangat dalam apa jua pekerjaan. Ia bukanlah wang yang anda peroleh,” kata Dr Mahathir ketika mengulas kepada soalan seorang pelajar sekolah tinggi di Jepun yang menyertai ceramah sekolah musim panas tahun ini, Japan Future Leaders School (JFLS) yang amat menyanjungi Dr Mahathir kerana masih mampu menyumbang khidmat pada usia menjangkau 94 tahun.

Artikel berkaitan: Dr Mahathir berucap di sekolah musim panas Jepun

Dengan tampil buat kali ke-16 pada ceramah tahunan JFLS semalam, Dr Mahathir berkata, perasaan penuh semangat boleh membawa kepada kepuasan.

“Dan jika anda berpuas hati, anda mahu lakukannya berkali-kali,” katanya. 

Dr Mahathir dijemput sebagai penceramah utama pada ceramah tahunan sekolah musim panas itu.

JFLS adalah program khas diadakan setiap tahun kepada pelajar sekolah tinggi yang terpilih.

Ia program selama dua minggu yang bertujuan membangunkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar dalam pelbagai bidang yang diminati menerusi pertukaran pandangan bermakna dengan individu terkemuka.

Terdapat lebih 2,000 pelajar sekolah tinggi termasuk empat dari Malaysia menyertai program berkenaan.

Yang lain dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Dr Mahathir pada ceramah itu juga berkongsi dengan para pelajar sekolah tinggi berkenaan mengenai bagaimana Jepun pulih dengan cepat selepas Perang Dunia II dan maju menerusi rakyat Jepun yang mempunyai sifat tekun, berdisiplin dan dedikasi, yang patut dicontohi.

Beliau berkata, jika Jepun tidak bekerja keras ketika itu, mereka mungkin tidak dapat menikmati kehidupan yang baik seperti yang dilalui hari ini.

“Jika anda bersantai sahaja, anda tidak akan maju,” katanya. - Bernama

Baca:

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

'Kata kuncinya adalah hafal formula' - Ingi peringatan penting cikgu Matematik kepada calon UPSR

Dua tajuk penting subjek Sains untuk Calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri Satu)

Tak mahu murid 'tidur' dalam kelas, Guru Sains Ikon STEM Johor ini cipta kelainan

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi