SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik angkat filem Raatchasi sebagai inspirasi kepada pendidik, ibu bapa, dan masyarakat.

Katanya, filem ini merupakan aspirasi yang beliau sendiri rancang dan ingin laksanakan dalam KPM.

“Saya berharap filem ini akan dapat tanamkan kesungguhan para pendidik untuk mendidik para pelajar, di samping mempertingkatkan ilmu pengetahuan melebihi apa yang diajar menerusi silibus mata pelajaran,”beliau berkata demikian ketika pertemuan khas Menteri Pendidikan bersama penerbit, pengarah, dan pelakon Raatchasi.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh pengetua sekolah, guru besar, dan juga guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Filem arahan S Gowthamraj itu memaparkan Jyotika yang memainkan peranan utama dalam mengharungi liku dan ranjau sebagai seorang guru besar yang tegar, demi membaik pulih keadaan sekolah yang daif, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru, ibu bapa, murid dan juga masyarakat untuk memaklumkan kepada KPM, sekiranya terdapat guru-guru hebat di luar sana yang boleh diketengahkan.

“Jika di dalam filem tersebut, kita ada Cikgu Geetha yang diangkat sebagai wiranya, di Malaysia juga kita ada ramai guru-guru adiwira yang perlu kita kenali dan hargai jasanya,”katanya.

Maszlee turut menyarankan agar semua pemimpin sekolah menonton filem ini. Semoga apa yang dikongsikan itu dapat memberikan inspirasi kepada semua untuk membawa perubahan dalam pendidikan.

“Filem tersebut mengetengahkan tentang perjuangan seorang guru besar datang ke sebuah sekolah yang sudah tiada harapan. Namun dengan usahanya itu, dia telah membuktikan, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Keazaman dan komitmen seorang guru besar wanita bernama Cikgu Geetha itu telah membawa perubahan besar kepada sekolah. Dia merancang apa yang diinginkan, perancangan yang berlandaskan kepada visi yang lebih jelas dan juga dokongan dari semua pihak,”ujar beliau.

Maszlee memberitahu, untuk membawa perubahan, Cikgu Geetha tidak boleh lakukannya seorang diri, tetapi perlukan  dokongan dari pelbagai pihak. Jadi ini yang kita mahukan dalam pendidikan kita.

“Hari ini, sebenarnya banyak perubahan yang ingin kita bawa. Justeru, kita memerlukan dokongan dari semua anggota masyarakat, ngo, ibu bapa, dan semua pihak yang terlibat. Agar lahir golongan pelajar yang terpelajar, berdisiplin dan berminda sivik.

“Saya yakin, apa yang digambarkan menerusi filem tersebut dapat diterjemahkan oleh guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah,”katanya.