MUNGKIN ada antara kita tidak berminat dengan mata pelajaran Matematik. Alasan yang diberi, kerana sukar dan susah untuk mendapat markah tinggi.

Guru Cemerlang Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan, Mohd Nizam Mad Tahir berkata, Matematik tidaklah sesukar yang disangka.

"Penggunaan Matematik sebenarnya ada dalam kehidupan seharian kita.

"Cuma kita perlu peka dengan keadaan sekeliling sahaja," katanya kepada GPS Bestari.

Bagi membantu pelajar minat Matematik, Cikgu Mohd Nizam berkongsi tiga situasi yang berhubung kait dengan subjek Matematik.

"Pelajar Tingkatan Satu, mohon fahami situasi yang cikgu maksudkan ini.

"Moga ia dapat meningkatkan penguasaan pelajar dalam subjek tersebut," katanya.

**********

PERNIAGAAN

SITUASI 1

Saya nak membeli 9 bungkus nasi lemak yang berharga RM1.50 sebungkus dan 28 biji telur puyuh yang berharga RM0.20 sebiji. Saya terus beri makcik tu duit RM19.10.

 

Mak cik tu ambil kalkulator dan kira.

Mak cik tu kata macam mana anak kira dengan cepat?

 

Penyelesaian secara congak - Guna Hukum Kalis Agihan (Matematik KSSM Tingkatan Satu)

 

Harga sebungkus nasi lemak = RM1.50

Harga sebiji telur puyuh = RM0.20

 

Nasi lemak

= RM1.50 × 9 bungkus

= RM1.50 x (10 - 1) bungkus

= RM15 - RM1.50

= RM13.50

 

Harga telur puyuh

=RM0.20 x 28 biji

= RM0.20 x (30 - 2) biji

= RM6.00-RM0.40

=RM5.60

 

Jumlah yang perlu dibayar

=RM13.50 + RM5.60

=RM19.10

 

Sebenarnya Hukum Kalis Agihan (Matematik KSSM Tingkatan Satu) dah lama digunakan oleh peniaga-peniaga sejak dulu lagi cuma baru diperkasakan dan ia telah dimasukkan dalam silibus KSSM Matematik Tingkatan Satu bermula tahun 2017. Cuma yang menjadi sedikit kekesalan telah dibenarkan penggunaan kalkulator di menengah rendah yang mengakibatkan kebanyakan murid-murid kurang berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam Matematik. Jom kita perkasakan semula kaedah congak dalam Matematik.

SITUASI 2

Berapa yang perlu dibayar jika kita hendak membeli 7 bungkus nasi lemak yang berharga RM1.50 sebungkus?

 

Jawapan:

 

Jarang orang yang hafal sifir 1.5 kan, jadi kita guna sistem kalis ini

 

Nasi lemak

= RM1.50 × 7 bungkus

= RM1.50 x (10 - 3) bungkus

= RM15 - RM4.50

= RM10.50

 

SITUASI 3

Berapa yang perlu dibayar jika kita hendak membeli 8 bungkus nasi lemak yang berharga RM1.50 sebungkus?

Cuba kira berapa yang perlu dibayar untuk soalan SITUASI 3?

Lepas ni kalau kita beli barang kita minta anak-anak kita kira ya dan mestilah kita yang bayar kan.

Seronok dan mudahkan. Jom kita gunakan Matematik dalam kehidupan seharian.

Semoga dapat meningkatkan minat terhadap Matematik. Insya-Allah. Amin.

- Mohd Nizam Mad Tahir

Guru Cemerlang Matematik

SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan

Artikel Menarik:

'Sikap Aiman hanya satu dalam seribu' - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya

‘Andai ada yang bertanya, tak nak ke tukar ke arus perdana...maaf, kami bahagia bersama anak syurga'

'Keranamu Aiman, netizen titip doa dan harapan'