KUALA LUMPUR - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)  menyeru masyarakat  untuk beralih kepada platform e-pembelajaran dan alternatif digital sebagai cara untuk mengatasi cabaran semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata rakyat Malaysia, terutamanya ibu bapa yang perlu bekerja dari rumah, boleh mengambil peluang itu untuk memastikan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti positif dan kandungan yang memberi manfaat untuk memperoleh pengetahuan melalui cara baharu.

"MDEC berpendapat pandemik COVID-19 akan memberi kesan jangka panjang kepada sikap dan tingkah laku terhadap digital di Malaysia, termasuk cara pendidikan disampaikan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Surina berkata PKP telah mendorong kepada penilaian semula ke atas pendekatan tradisional dan penyelesaian penyampaian kandungan yang inovatif oleh sistem pendidikan Malaysia dan ibu bapa.

"Penutupan sementara semua sekolah, institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan awam dan swasta telah mendedahkan kepentingan teknologi digital dalam kehidupan rakyat dan kesan positif daripadanya," katanya.

Surina berkata institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada teknologi digital terkemuka - Institut Teknologi Digital Premier (PDTI) - dan kolej turut mencari kaedah baharu untuk membangunkan perkhidmatan penyampaian dalam talian dan kandungan digital bagi memenuhi keperluan pelajar dan pelanggan mereka.

Sebahagian PDTI yang menawarkan kursus e-pembelajaran ialah universiti awam dan swasta seperti Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti HELP.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak di peringkat pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi boleh meneroka platform ini melalui kursus yang ditawarkan di www.mdec.my dan senarai itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa. - Bernama

Artikel lain:

Cikgu Ida kongsi amalan untuk elak dari virus Covid-19

Cikgu Nazim kongsi cara pencegahan daripada terkena Covid-19 di rumah

'Zoom Cloud Meeting' cara Cikgu Mazliza

Cikgu Mc Nor ajar empat langkah mudah buat sendiri 'hand sanitizer' kos hanya RM22 untuk satu liter

Terbaiklah, JPN Johor sediakan pembelajaran digital, altenatif PdP musim cuti Covid-19