MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan pengecualian sewa premis kepada pengusaha kantin sekolah bagi bulan Mac dan April untuk mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan hingga 31 Mac ini.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata pengecualian sewa itu perlu dimohon melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan ia akan diuruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad.

"Kita terima aduan daripada wakil pengusaha kantin di negeri ini tentang pendapatan mereka yang terjejas ekoran penutupan sekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dan kita bersetuju memberikan pengecualian sewa kepada mereka.

"Kita berharap pengecualian sewa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha kantin sekolah di negeri ini," katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Menurut Sulaiman, pemberian insentif atau bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil serta gaji awal kepada penjawat awam kerajaan negeri juga sedang dipertimbangkan dan ia bergantung kepada kewangan semasa kerajaan negeri.

Sementara itu, Sulaiman berkata 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka diminta menjalani saringan kesihatan COVID-19 bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada simptom wabak tersebut.

Beliau berkata saringan itu penting berikutan barisan Exco kerajaan negeri merupakan tulang belakang dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan lancar.

"Saringan COVID-19 ini akan dilakukan di Seri Negeri secepat mungkin oleh Jabatan Kesihatan Negeri bagi menjamin kesihatan semua Exco," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata rakyat Melaka diminta bersabar menghadapi situasi catuan bekalan air di negeri itu dan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, kerajaan negeri masih terus berusaha memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin sambil memaklumkan paras air semasa di Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 14.6 peratus iaitu 4,520 juta liter, diikuti Empangan Jus 22.6 peratus iaitu 987 juta liter, manakala Empangan Asahan 63.9 peratus iaitu 445 juta liter.

Melaka mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin. - Bernama

Artikel lain:

Jom cikgu sepakat bersama berganding bahu #DudukRumah

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain