JASIN - Sebanyak 13 buah sekolah sekitar Jasin dan Melaka Tengah menyertai Sambutan Hari Air Sedunia 2019 peringkat negeri Melaka, di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk.

Penyelaras program, Gobindaran Aru Chunan berkata, program dianjurkan dengan kerjasama antara SK Air Baruk, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Green Growth Asia Foundation.

“Sambutan ini merupakan yang julung kali diadakan. Kita terima banyak maklum balas positif daripada semua pihak. Mungkin kita akan anjur lagi di masa akan datang,” katanya.

Guru Besar SK Air Baruk, Nizam Aziz berkata, pelbagai aktiviti diadakan seperti pelancaran Sistem Penuaian Air Hujan, pertandingan Eco-Code dan persembahan murid.

“Rakaman video mengandungi mesej Hari Air Sedunia 2019 yang disertai 13 buah sekolah turut dipaparkan kepada mereka yang hadir dan dikongsi di akaun facebook rasmi sambutan berkenaan,” katanya.

Nizam (tengah) menerangkan sesuatu kepada Dr. Fort Pit (dua dari kanan) ketika simbolik perasmian Tapak Sistem Penuaian Air Hujan.

Terdahulu, program dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation, Datuk Dr. Dionysius Shankar Kumar Sharma, pensyarah UPM, Prof. Madya Dr. Juliana Jalaludin, 320 murid dan lebih daripada 50 guru.

Sementara itu, Dr. Fort Pin dalam ucapan perasmiannya berkata, murid perlu diberi pendedahan mengenai kesedaran dan penjimatan air.

“Air penting pada manusia dan alam sekitar. Sebab itu kita digalakkan supaya tidak melakukan pembaziran semasa menggunakan air,” katanya.

 Murid SK Air Baruk mengadakan persembahan koir dan bicara berirama yang bertemakan air.