MELAKA - Seramai 284 pelajar asnaf yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan 2019 menerima hadiah saguhati daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi MAIM, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, menerusi peruntukan berjumlah RM60,100 itu, setiap pelajar diberi RM50 bagi setiap A yang diperoleh dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Beliau berkata wang sagu hati itu dikreditkan ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kerajaan Negeri Melaka melalui MAIM sentiasa berusaha menyantuni kebajikan asnaf negeri ini dan kita tidak mahu ada yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Aspresiasi MAIM 2021 di sini.

"Hal ini bertepatan dengan salah satu misi negeri Melaka iaitu menjamin kesejahteraan rakyat menerusi insentif kebajikan agar semua lapisan rakyat di negeri ini terbela khususnya golongan asnaf,” tambahnya. - BERNAMA

Artikel menarik

Pelajar KV Keningau menang Anugerah Rapid Youth Success Entrepreneurship (RYSE) kategori komik

Festival UiTM Perform kongsi maklumat mengenai fakulti dan program pengajian secara atas talian