Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) gembira dengan berita kejayaan sekumpulan anak tempatan menerusi MILDEF International Technologies (MILDEF) syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4x4 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan tersebut memberikan impak langsung kepada UTeM ekoran ketua jurutera yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan merupakan alumni universiti itu iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Khairul Hazwan Mohd Rasit.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihak universiti teruja dengan pencapaian berprestij tersebut kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal kepada negara dan dunia merupakan satu kenyataan.

Menurutnya, graduan UTeM juga turut menjadi buruan majikan dan industri pelbagai sektor dari seluruh dunia dan perkara itu selari dengan kedudukan UTeM yang berada pada kedudukan tiga teratas bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam dalam negara.

“Di samping itu pelaksanaan strategi dan formula khas UTeM turut berkait rapat dengan kejayaan penghasilan graduan unggul universiti ini bilamana konteks pengisian daripada kerangka kerjasama strategik UTeM bersama rangkaian industri dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Khairul Hazwan berkata, proses pengajian di UTeM adalah komprehensif dan beracuan Revolusi Industri 4.0 iaitu membentuk pelajar dengan kemahiran perindustrian sekali gus amat membantu dalam proses mereka bentuk serta pembuatan sesebuah produk.

Ujarnya lagi, hasil pembelajaran di UTeM membuatkannya rasa seperti berpengalaman dalam bidang perindustrian dan pengisian berkenaan menjadi satu suntikan hebat kepadanya sebagai ketua jurutera bagi penghasilan kereta perisai pertama negara ini.

“Mengimbas kembali pengajian beliau di UTeM sepanjang empat tahun dari tahun 2011 hingga 2015 memperlihatkan penuntut UTeM dilengkapkan dengan kepakaran teori dan kemahiran mengendalikan jentera perindustrian terkini serta bertaraf global.

“Di samping itu, penuntut juga melalui tempoh masa yang agak panjang iaitu pembelajaran secara amali bagi penggunaan sesuatu mesin berteknologi tinggi selain pembelajaran daripada tenaga akademik UTeM yang berpengalaman luas dalam bidang industri multinasional dari seluruh dunia,” ujarnya.

Tambah Khairul Hazwan lagi, beliau turut merakamkan penghargaan buat UTeM yang telah mencorakkannya menjadi seorang jurutera profesional bertaraf dunia di samping berharap agar universiti itu dapat terus melahirkan graduan unggul menyumbangkan kepakaran kepada negara serta dunia.

Sumber: Unit Perhubungan Awam, Media dan Penerbitan Korporat, Pejabat Pengurusan & Perhubungan Canselori UTeM