MELAKA - Seramai 280 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred cemerlang A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 343 calon pada 2014.

Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari bagaimanapun berkata, jumlah calon yang mendaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tahun lalu berkurangan dari tahun sebelumnya iaitu 15,113 orang kepada 14,500 di mana 12,371 merupakan calon menduduki peperiksaan sekolah di bawah kementerian.

Menurutnya, pengurangan bilangan calon sedikit sebanyak memberi impak kepada gred cemerlang bagi semua mata pelajaran dari 2.63 peratus kepada 2.29 peratus, selain penurunan bilangan calon yang mencapai gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran dari 10 kepada 8 orang, tahun lalu.

"Pencapaian keseluruhan juga sedikit menurun apabila seramai 10,455 calon berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 12,204 pada 2014.

“Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) untuk SPM 2015 ialah 5.25 iaitu penurunan 0.08 berbanding 5.17 pada tahun 2014. Bagaimanapun hampir 95 peratus sekolah di negeri ini mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik dari 6.75, sekali gus menunjukkan pihak kita telah melaksanakan tugas dengan baik dalam bidang pendidikan serta membantu pencapaian GPN di Melaka,” katanya pada sidang sidang media keputusan Peperiksaan SPM 2015 di Jabatan Pendidikan Melaka di Bukit Baru, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, peratus calon yang layak mendapat sijil turut menurun dalam tempoh dua tahun berturut-turut dari 87.3 peratus pada 2013 kepada 86.3 peratus pada 2014 sebelum ke 85.7 peratus pada 2015.

Beliau berkata, sebanyak 16 buah sekolah di bawah kementerian di negeri ini mencapai seratus peratus layak menerima sijil dan sebuah sekolah dalam kategori cemerlang.

Selain itu, seramai 19 buah kategori baik, memuaskan (53) dan berpotensi (tiga).