Berpeluang melihat keindahan alam dari aras ketinggian tentunya pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat buat 39 peserta Ekspedisi Gunung Tahan.

Selepas gigih mengadakan latihan selama tujuh siri latihan selama tiga bulan, akhirnya misi menawan puncak gunung tertinggi Semenanjung Malaysia itu berjaya dilakar pada jam 6.30 pagi 27 Februari lalu setelah memulakan pendakian selama tiga hari.

Misi yang dianjurkan Kelab Kembara Turbo Kasturian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka ini disertai pelajar dan guru dari lapan sekolah dan sebuah institusi kemahiran.

Dari kiri: Cikgu Muhammad; Eiman Naufal; Cikgu Syazwani dan Cikgu Hafidamolisa mengibarkan bendera sekolah setelah berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

Guru Penyelaras Kelab  Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi, Muhammad Zainuddin berkata, keseronokan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila usaha gigih mereka selama ini berjaya.

"Saya kagum melihat keindahan alam semula jadi yang berbeza-beza mengikut tahap ketinggian gunung-ganang.. bermula dengan sungai, pokok balak, bonsai sehinggalah di puncak gunung, mata terbuka luas melihat awan nano serta matahari terbit dan terbenam," katanya.

Guru Prinsip Akaun itu berkata, beliau amat bersyukur kerana misinya berjalan lancar, tiada kemalangan babitkan peserta walaupun ada pelajar yang tergelincir ketika melintasi sungai berbatu namun itu hanya kemalangan kecil sahaja.

Ketika kejadian, pelajar  Kolej Vokasional Juasseh, Nurfazliza Khairina Ahmad Fuad tidak dapat mengawal diri kerana batu dasar sungai sangat licin lalu tergelincir dan dia bernasib baik kerana air hanya paras lutut dan arus sungai perlahan.

"Pelajar itu kemudiannya dibantu rakan- rakan untuk melepasi sungai," katanya.

Eiman Naufal bersama Guru bahasa Inggeris, SMK Hang Kasturi, Syazwani Ahmad Umar mengibarkan bendera sekolah masing-maing di puncak Gunung Tahan.

Cikgu Muhammad berkata, peserta termuda yang mengikuti ekspedisi tersebut ialah calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksamana Eiman Naufal Muhammad dan Mohd Rayyan Zikrullah Mohd Azam.

"Kami juga mempunyai peserta paling berusia, iaitu Zahari Md Din dan Suwandi July yang masing-masing berusia 50 tahun, mereka mewakili Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Hang Kasturi," katanya.

Tambah beliau, ekspedisi itu tidak akan tercapai tanpa tajaan dan sumbangan dari Pejabat Ketua Menteri Melaka; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selaku penaung Kelab Kembara Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi dan Koperasi Petronas (KOPETRO).

Eiman Naufal mengibarkan bendera sekolah ketika tiba di puncak Gunung Tahan.

Sementara itu, Pengetua, Noridah Ab Rahim, berkata, ekspedisi mendaki Gunung Tahan merupakan satu kejayaan besar Kelab Kembara SMK Hang Kasturi yang diketuai oleh Cikgu Muhammad.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang terlibat sehingga berjaya mengibarkan bendera sekolah masing-masing dengan rasa bangga dan bersyukur di puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

"Semoga pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dilalui sepanjang ekspedisi ini berlangsung akan meningkatkan disiplin, semangat jati diri dan setiakawan serta kecintaan kepada alam dan kebesaran pencipta-NYA," katanya.

Reaksi

"Alhamdulillah, saya berjaya menawan puncak Tahan dengan sokongan suami, keluarga dan kawan-kawan. Ekspedisi Gunung Tahan telah mendidik saya erti persahabatan dan kesabaran. Secara jujur, perjalanan menuju ke puncak Tahan takkan berjaya jika tiada persediaan fizikal dan juga mental. Bagi saya, semua orang mampu menawan puncak Tahan jika mempunyai semangat juang yang tinggi. terima kasih Gunung Tahan untuk pengalaman indah!" - Hafidamolisa Ngah, Guru SMK Hang Kasturi

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak SK Sri Laksamana, Masjid Tanah kerana diberi peluang menawan puncak Gunung Tahan. Saya amat bangga kerana dipilih menyertai pendakian ini. Sesungguhnya amat bermakna dan mendewasakan saya dalam menempuh kehidupan pada masa akan datang." - Eiman Naufal Muhammad, Murid Tahun Enam, SK Sri Laksamana

"Saya rasa beruntung kerana terpilih untuk menyertai program menawan G7 ini. Saya juga dapat mengambil pengalaman dalam mendaki daripada abang abang profesional. Seterusnya, saya amat terharu apabila dapat menawan puncak gunung tahan yang merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan pemandangan yang tidak boleh dilihat di tempat lain, saya bersyukur kerana program seperti ini dapat memberi peluang kepada bakat anak muda untuk terus berkembang." - Muhd Zikri Muhd Zahari, Peljaar Tingkatan Empat, SMK Sultan Alauddin

"Jutaan terima kasih kepada Turbo Kasturian kerana mereka, saya sampai ke puncak Gunung Tahan. Saya bersyukur dikurniakan keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberi semangat, sokongan dan kerjasama sepanjang trip pendakian. Alhamdulillah dengan semua itu saya berjaya menawan puncak Gunung Tahan dengan jayanya. Selama enam hari bersama peserta misi saya belajar erti persahabatan, kekeluargaan, kerjasama dan kekuatan mental serta fizikal. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kerana memberi  peluang kepada saya melihat keindahan alam dari puncak Gunung Tahan." - Nur Asma Husna Rostam, Pelajar Tingkatan Empat, SMK Ghafar Baba

Info

Sekolah yang menyertai Ekspedisi Gunung Tahan

1. SMK Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka

2. SMK Sultan Alauddin, Masjid Tanah, Melaka

3. SMK Ghafar Baba, Masjid Tanah, Melaka

4. SMK Rahmat, Masjid Tanah, Melaka

5. SMK Sungai Udang, Masjid Tanah, Melaka

6. SK Sri Laksamana, Masjid Tanah, Melaka

7. SK Othman Shawal, Masjid Tanah, Melaka

8. SMK Puncak Alam, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor

9. Kolej Vokasional Juasseh, Batu Kikir Negeri Sembilan

Pendakian dibantu pendaki berpengalaman daripada Kelab Siput Turbo Hikers

Tujuh siri latihan yang dijalani sebelum Ekspedisi Gunung Tahan

1. Mendaki Gunung Datuk (9 Disember 2019)

2. Mendaki Gunung Besar Hantu (16 Disember 2019)

3. Mendaki Gunung Berembun Telapak Buruk (21 Disember 2019)

4. Mendaki Gunung Datuk (11 Januari 2020)

5. Mendaki Gunung Kecil Hantu (18 Januari 2020)

6. Mendaki Gunung Angsi (23 Januari 2020)

7. Perkhemahan di Trans Naning (15 hingga 16 Februari 2020)

Cikgu Muhammad meraikan kejayaan dengan mengibarkan bendera sekolah sebaik sahaja berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

Guru bahasa Inggeris SMK Ghafar Baba, Lydia Colaco dibantu jurupandu ketika menuju puncak Gunung Tahan.

Cikgu Muhammad dan Eiman Naufal lengkap berbaju sekolah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Melaka di puncak Gunung Tahan.

Meraikan kejayaan di puncak gunung tertinggi Semenanjung Malaysia.

Cikgu Muhammad (dua dari kiri) bersama guru dan pelajar SMK Hang Kasturi merakam kenangan berlatar belakangkan awan di puncak Gunung Tahan.

Eiman Naufal mengibarkan bendera sekolah ketika tiba di puncak Gunung Tahan.

Jurulatih Peserta Turbo Kasturian daripada Kelab Siput Turbo Hikers Negeri Sembilan, Syarul Anuar di puncak Gunung Tahan.

Cikgu Muhammad meraikan kejayaan dengan mengibarkan bendera sekolah sebaik sahaja berjaya menawan puncak Gunung Tahan.

Cikgu Syazwani meraikan kejayaan di puncak Gunung Tahan.

Presiden Persatuan Aktif Malaysia, Sharifah Azuani Sayed Mohd Ali (depan, tengah) ketika merasmikan pelepasan peserta Ekspedisi Gunung Tahan di SMK Hang Kasturi.

Sharifah Azuani menyerahkan Jalur Gemilang kepada Syarul sebagai simbolik pelepasan peserta Ekspedisi Gunung Tahan di SMK Hang Kasturi.

Cikgu Noridah (tengah) bersama ahli Kelab Kembara Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi ketika pelepasan peserta Ekspedisi Gunung Tahan.

Sharifah Azuani (kanan) dan Noridah (dua dari kanan) bersama bendera Kelab Kembara Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi ketika pelepasan peserta Ekspedisi Gunung Tahan.

Cikgu Noridah (dua dari kiri) bersama peserta SMK Sultan Alauddin.

Sharifah Azuani (dua dari kanan) dan Cikgu Noridah (tiga dari kanan) bersama peserta SK Othman Shawal.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Razak Adam (kiri) dan Guru Besar SK Sri Laksamana, Sisnoto Santar bersama peserta sekolah itu.

Razak bersama peserta SMK Puncak Alam.

Usahawan Lina Anuar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan jenama Brahim's kepada Guru Perhubungan Luar mewakili Turbo Kasturian SMK Hang Kasturi, Syed Aliwi V
Shaib Alqudrisambil diiringi Cikgu Muhammad (kanan) dan Razak (kiri).