MELAKA - Menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon berkeperluan khas terutama kurang upaya pekak dan bisu bukanlah mudah kerana perlu membuat persediaan rapi agar dapat mengikut arahan dan menjawab soalan dengan baik.

Chin Jia Lie, 18, berkata persediaan bagi menduduki SPM baginya agak sukar kerana perlu mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek terutama dalam subjek Bahasa Melayu.

"Saya telah buat persediaan dan akan cuba yang terbaik terutama untuk kertas Bahasa Melayu kerana ia agak penting untuk lulus," katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir di sini, hari ini.

Pelajar itu menjawab soalan yang diajukan pemberita dengan bantuan guru kaunseling sekolah tersebut yang juga guru bimbingannya sejak tingkatan empat, Duzaimah Kamaruddin.

Chin yang juga pengawas perpustakaan dan bercita-cita menjadi seorang guru berkata dia berharap mendapat keputusan yang baik dan menjadi contoh kepada tiga lagi adiknya.

Duzaimah berkata Chin merupakan seorang daripada tiga pelajar bimbingannya yang menduduki peperiksaan SPM dan merupakan seorang pelajar yang agak bijak.

"Kebiasaannya pelajar yang pekak dan bisu ini akan menghadapi masalah menulis dan memahami bahasa pertuturan orang normal sehingga menyebabkannya sukar berkomunikasi dan menjawab soalan," katanya.

Beliau berkata guru bahasa isyarat yang menjadi pengawas peperiksaan adalah penting bagi membantu pelajar seperti Chin memahami soalan dan arahan ketika menduduki peperiksaan agar dapat menjawab dengan baik.

Muhammad Amirul Bongsu, 19, yang menghadapi masalah pertuturan dan pendengaran berkata dia akan melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke politeknik untuk membantu keluarga dan ibunya Zuriadiah Shohal, 32, kerana ayahnya, Bongsu Mohamad, 48, kini terlantar sakit akibat kemalangan jalan raya sejak tahun lepas. - Bernama