ALOR GAJAH - Seramai 30 murid suku Temiar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan mengikuti lawatan sambil belajar ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.

Lawatan sehari itu turut diiringi beberapa guru pengiring termasuklah Guru Besar SK Balar, Ab Hadi Sulaiman.

Ab Hadi berkata, lawatan ke UTeM dan juga ke beberapa negeri lain bertujuan memberikan pendedahan tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku kini.

"Menerusi lawatan ke UTeM, saya yakin murid-murid SK Balar akan teruja dan bersemangat untuk melanjutkan pelajaran di sini kelak apabila mendapat maklumat mengenai konsep pembelajaran dan budaya kampus di UTeM," katanya.

Selain UTeM, rombongan turut berkesempatan melawat beberapa lagi lokasi pelancongan utama di Melaka sebagai siri lawatan ke Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Taman Buaya dan beberapa tempat lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim berbesar hati atas kesudian guru SK Balar memilih UTeM sebagai medium memperkenalkan pendidikan tinggi kepada murid mereka.

Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori UTeM, Fazidah Ithnin pula berkata, lawatan tersebut diharap akan menjadi pemangkin semangat kepada murid untuk terus berusaha melanjutkan pengajian di menara gading.

“Seterusnya diharapkan mereka mencapai kejayaan dalam hidup kerana mereka juga mempunyai peluang sama dengan murid lain dari seluruh negara," katanya.

 Ab Hadi (tengah) menandatangani buku pelawat sebaik sahaja tiba di UTeM sambil dikelilingi murid SK Balar.

 Prof Raha (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ab Hadi.