DEMI memberi pengalaman belajar yang menyeronokkan dan berkesan kepada pelajar, guru ini sanggup memerah idea menghasilkan inovasi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) walaupun berdepan pelbagai halangan.

Lebih menarik inovasi yang dibangunkan muncul tempat pertama pada pertandingan Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) di One World Hotel, Bandar Utama City Centre, Petaling Jaya, Selangor, 18 September lalu.

Guru Fizik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Melaka, Mohd Azif Shukor berkata, beliau mengambil inisiatif untuk membangunkan I Force walaupun sukar untuk mencari bahan.

"Saya telah mencuba pelbagai jenis bahan seperti 'art card', 'foam board' dan 'mounting board' tetapi semua bahan-bahan tersebut tidak boleh bertahan lama.

"Akhirnya saya buat keputusan untuk cuba menggunakan Acrylic dan alhamdulillah ia berjaya. Beberapa bahan lain seperti Nylon Bolt dan Nylon Nut saya tempah khas dari China kerana harga yang mereka tawarkan sangat berpatutan," katanya.

I Force bersama empat inovasi dari sekolah lain dianugerahkan Science Education Award (SEA) 2019 dan masing-masing menerima RM6,000.

Tempat kedua (lima pemenang) menerima RM4,000 setiap pemenang dan tempat ketiga (lima pemenang) menerima RM2,000.  

Pertandingan tertutup anjuran MTSF itu membabitkan penyertaan lebih 150 guru Sains Teras (Sekolah Menengah), guru-guru Sains Tulen (Sekolah Menengah) dan pensyarah universiti, kolej universiti, politeknik dan matrikulasi.

Hanya 15 guru sahaja yang dipanggil untuk membentangkan inovasi masing-masing di hadapan juri profesional dalam tempoh 10 minit.

Membangunkan inovasi I Force menggunakan pembaris dengan kos sekitar RM15.

Menurut Cikgu Mohd Azif, sepanjang 12 tahun menjadi guru, beliau tidak pernah sangka dapat menempa kejayaan itu.

"Saya bersyukur, mendapat satu lagi kejayaan sepanjang membangunkan pelbagai inovasi.  

"Sepanjang 12 tahun menjadi guru, saya tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini dan ia bagaikan mimpi yang indah.

"Terima kasih kepada isteri, Azurah Dapor dan anak-anak yang sentiasa menyokong minat saya dalam menghasilkan inovasi. Tidak lupa juga kepada pengetua, Rubaiya Abu Nawas yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar serta memberi kebenaran untuk saya menyertai pertandingan inovasi," kata guru kelahiran Batu Pahat, Johor.

Bapa tiga anak ini berkata, selagi diberikan kesihatan yang baik, dia akan berusaha untuk menghasilkan inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Fizik.

"Berbaki 23 tahun tempoh perkhidmatan saya dalam bidang perguruan saya berazam untuk menghasilkan 23 inovasi dalam mata pelajaran Fizik.

"Satu tahun satu inovasi, saya berharap inovasi ini dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar dan guru bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara," ujarnya.

Inovasi I Force

Menurut  Cikgu Mohd Azif, I Force adalah inovasi berteraskan penggunaan anak panah berwarna.

"Setiap warna anak panah pada I Force mewakili daya tertentu seperti Berat (W), Daya Tindak Balas Normal (R), Tegangan Tali (T) dan Daya Geseran (F)," katanya.

Inovasi ini memfokuskan kepada lima situasi yang memerlukan pelajar menentukan arah daya yang bertindak dan meleraikan daya mengikut komponen daya.

Situasi tersebut seperti berikut:

Situasi 1 : Objek pegun pada satah mengufuk

Situasi 2 : Objek pegun pada satah condong

Situasi 3 : Objek pegun tergantung pada tali (secara menegak)

Situasi 4 : Objek pegun tergantung pada tali (bersudut)

Situasi 5 : Objek yang tergantung pada takal (objek bergerak)

Kata Cikgu Mohd Azif, I Force mengimplementasikan strategi pembelajaran Visual, Auditori dan Kinestatik (VAK) berpusatkan pelajar serta mengaplikasikan konsep warna.

"Elemen warna yang diterapkan pada I Force membantu pelajar membayangkan secara visual setiap daya yang terlibat berdasarkan kod warna.

"Elemen Kod QR pada setiap anak panah pula merangsang pelajar auditori mempelajari maksud setiap daya-daya yang bertindak ke atas objek secara audio, rakaman suara manakala elemen kinestatik pula melibatkan aktiviti 'hands on' secara kooperatif bersama rakan' pelajar di mana mereka akan diajar cara untuk menggerakkan setiap anak panah yang terdapat pada I Force," katanya.

Perkongsian inovasi I Force di SMK Sungai Udang, Melaka.

Kos penghasilan inovasi ini ialah RM50 menggunakan Acrylic berkualiti tinggi pada harga mampu milik. Inovasi ini bakal berada dalam pasaran tidak lama lagi dan dijangka dijual pada harga anggaran RM100.

Menurut Cikgu Mohd Azif, I Force telah dikongsikan di beberapa sekolah di negeri Melaka antaranya ialah SMK Hang Kasturi, SMK Malim, SMK Klebang Besar, SMK Sungai Udang dan Kolej Matrikulasi Melaka.

"Ia juga telah dikongsi dengan 300 guru Sains ketika Karnival Pendidikan Melaka 2019 termasuk guru dari SMK Tiong Hin, Sibu, Sarawak pada Mac lalu," ujarnya.

I Force telah merangkul beberapa kejuaraan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa serta merangkul tiga Anugerah Khas Juri.

Pelajar SMK Malim, Melaka tertarik dengan I Force yang dibangunkan Cikgu Mohd Azif.

Pembentang Kertas Kajian di Kuantan International Colloquium Of Future Education (K-FED 2019)

INFO

Kejayaan inovasi I Force dalam pertandingan inovasi:

1. Pingat Emas Anugerah Guru Inovatif peringkat Negeri 2019

2. Johan Keseluruhan Anugerah Guru Inovatif Kategori Sekolah Menengah 2019

3. Pingat Emas Inovasi PDPC I REKA Peringkat Kebangsaan 2019

4. Pingat Emas Pertandingan Inovasi EDNOVAC Peringkat Kebangsaan 2019

5. Pingat Platinum dan Best Creative Award International Summit Of Innovation and Design Exposition, INSIDE 2019

6. Best Award Pempamer Pendidikan Persidangan Profesionalisme Guru peringkat Kebangsaan

7. Anugerah Yayasan Guru Tun Hussein Onn, YGHTO (Kajian Tindakan Terbaik)

 

Pembentangan kertas kajian untuk inovasi I Force:

1. Pembentangan Kertas Kajian I FORCE di Persidangan Profesionalisme Guru Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Majlis Guru Cemerlang Kuala Lumpur

2. Pembentangan Utama Persidangan Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan 2019 anjuran EPRD, KPM

3. Pembentangan Kertas Kajian I FORCE di Kuantan International Colloquium of Future Education (K-FED) 2019

 

Inovasi Cikgu Mohd Azif

1. Inovasi RD Board (Ray Diagrams Board) dalam topik Cahaya subjek Fizik tingkatan empat.

Kegunaan untuk menentukan ciri imej yang dihasilkan oleh kanta dan melukis gambar rajah sinar bagi kanta.

2. Prototaip Portable Ventury Devide (PVD) dalam topik Prinsip Bernoulli Fizik tingkatan empat.

Kegunaannya untuk mengesahkan Prinsip Bernoulli yang melibatkan tiga situasi halaju air dalam tiub venturi

3. Prototaip Elextro (4 in 1 Experimental Kit) dalam topik Kelektromagnetan subjek Fizik tingkatan lima.

Kegunaan inovasi ini untuk menentukan arah pesongan jarum kompas melibatkan empat situasi berbeza. Arah pesongan jarum kompas mewakili arah arus aruhan yang terhasil.

4. Prototaip Momentum-Impuls Kit dalam topik Momentum dan Daya Impuls Mata pelajaran Fizik tingkatan empat.

Kegunaan untuk menggambarkan kesan jisim terhadap momentum dan daya impuls yang dialami oleh objek.

 

Anugerah dan pencapaian

1) Inovasi Disiplin

 

a) My Vest (2016)

Vest untuk pelajar keluar kelas atas urusan rasmi dan ke tandas

 

Pencapaian:  

Johan  Amalan Terbaik Disiplin Negeri Melaka

Naib Johan Amalan Terbaik Disiplin Kebangsaan

Penarafan 5 Bintang Amalan Disiplin daripada KPM

 

b) I See (2017)

(Memfokuskan kepada pelajar datang lewat ke sekolah)

Pencapaian:

Johan  Amalan Terbaik Disiplin Peringkat Negeri Melaka

Naib Johan Amalan Terbaik Disiplin Peringkat Kebangsaan

Penarafan 5 Bintang Amalan Disiplin daripada kementerian Pendidikan Malaysia

Pingat Emas Dokumentasi terbaik Disiplin Peringkat  Kebangsaan

Pingat Emas Pameran Disiplin Peringkat Kebangsaan

 

c) Code 8 (2018)

(Memfokuskan kepada peningkatan sahsiah murid dan pengurangan pelajar ponteng kelas)

Pencapaian:

Johan  Amalan Terbaik Disiplin Peringkat Negeri Melaka

Tempat ke-4 Amalan Terbaik Disiplin Peringkat Kebangsaan

Tempat ke-3 Pengurusan Terbaik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Peringkat Kebangsaan

Pingat Emas video Disiplin Tular Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan

Pingat Emas Pameran Disiplin Peringkat Kebangsaan

 

2) Inovasi bersama murid

 

a) Inovasi Fishduino

Pemberian makanan kepada ikan secara automatik menggunakan Internet Of Things, IOT dan arduino.

Pencapaian:

Pingat Platinum International Summit Of Innovation and Design Exposition, INSIDE 2019

 

b) Inovasi Plantduino

Penyiraman pokok hiasan secara automatik menggunakan arduino.

Pencapaian:

Pingat Platinum International Summit Of Innovation and Design Exposition, INSIDE 2019

Tip Penting:

Cikgu Rosle kongsi 10 tajuk ramalan Sejarah SPM bagi tingkatan empat. Dah boleh hafal sekarang!

Skor subjek Fizik SPM dengan empat tip mudah daripada Cikgu Ajwad

'Tiga pantang larang yang perlu calon ingat semasa menjawab Fizik SPM'- Cikgu ini kongsi rahsianya

'Calon perlu buat enam perkara ini jika mahu skor A+ Kimia SPM' - Pesanan Guru Kimia

Pecutan akhir lulus Kimia SPM - Cikgu Natasya Haswani kongsi empat tip mudah untuk pelajar kuasai