MELAKA TENGAH - Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di negeri ini mencatat peningkatan kanak-kanak baharu sebanyak 22.8 peratus berbanding tahun lalu.

Persuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek berkata, peningkatan tersebut jelas menunjukkan Pasti masih mempunyai permintaan walaupun berdepan saingan tadika Islam swasta lain.

“Tahun lalu Pasti menerima 3,400 kanak-kanak manakala pada tahun ini jumlahnya meningkat kepada 4,275.

“Daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak yang kita terima, seramai 1,177 merupakan kanak-kanak dalam kawasan Hang Tuah Jaya manakala Parlimen Tangga Batu seramai 922 orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penambahan bilangan kanak-kanak itu secara tak langsung memaksa Pasti membuka sembilan buah lagi premis bagi menampung kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan premis di negeri ini sebanyak 72.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga Pasti yang tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang bangunan kerana kekangan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan Pasti sejak sekian lama berperanan menjadi penghubung masyarakat tanpa mengira ideologi politik ibu bapa.

“Tidak kira apa juga parti ibu bapa, kita tetap terbuka menerima anak mereka untuk dididik oleh guru yang berpengalaman dan berkemahiran termasuk membudayakan mereka dengan al-Quran.

“Kita yakin ibu bapa pelajar yang pelbagai aliran dan ideologi politik telah menghantar anak mereka ke sini disebabkan keyakinan mereka terhadap sistem yang kita perkenalkan,” katanya.

Tambahnya, yuran yang murah serendah RM60 sebulan turut menjadi faktor kenapa Pasti menjadi pilihan utama masyarakat.

Ini kelebihan Pasti yang diberitahu pengarah pusat ini ketika temubual khas bersama Sinar Harian pada 17 Disember lalu.

Ikuti temubual khas ini menerusi link di bawah:

https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/patutlah-pasti-jadi-pilihan-ibu-bapa-pengarahnya-kongsi-kelebihan-hantar-anak-di-sini-1.916259