UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjalankan Tanggungjawab Sosial korporat (CSR) kepada sektor yang memerlukan dan bersesuaian dengan situasi semasa.

Sempena dengan bermulanya kembali sesi persekolahan di musim kawalan pandemik ini, UTeM mengambil inisiatif dengan menyampaikan sumbangan pelindung muka yang dihasilkan sendiri oleh universiti ini yang dikenali sebagai UTeM Shield kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jun lalu.  

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, bagi tujuan ini pihaknya telah menyumbangkan sebanyak 3,000 unit UTeM Shield ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Jelasnya, ianya akan dapat digunakan oleh barisan guru di negeri ini sepanjang sesi persekolahan yang sudah tentu melibatkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam tempoh kawalan pada musim pandemik ini.

Ujarnya, agenda ini juga turut menzahirkan kerjasama dan hubungan baik terus terjalin erat antara pihak UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu dan berinovasi tinggi bersama dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

UTeM Shield ini telah diserahkan oleh pihak pengurusan UTeM terus kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Dr Mohd Azam Ahmad di pejabat beliau di Jalan Istana, Bukit Beruang, baru-baru ini.

Menurut Dr Mohd Azam, pihak JPN amat mengalu-alukan sumbangan ini dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak UTeM atas inisiatif dan keprihatinan ini.

Katanya, UTeM Shield ini dapat membantu kumpulan guru agar dapat mereka gunakan dalam sesi persekolahan yang telah pun bermula.

Pihak UTeM yang hadir bagi menyampaikan sumbangan ini adalah Ketua Pusat Kecemerlangan (COE) UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria, Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti & ICOE UTeM, Profesor Madya Dr Effendi Mohamad, Pengarah Pusat Hubungan Industri, UTeM Profesor Madya Dr Kok Swee Leong dan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori |(PPPC) UTeM, Fazidah Ithnin.

Artikel menarik:

Cabaran cikgu muda urus kewangan...usaha Cikgu Hailmi kongsi sembilan tip buat ramai guru setuju

Cikgu obes dan kurus. Ini yang perlu anda buat bila berada dalam kategori ini!

Penting ke menjadi guru yang berwatak? Ikuti perkongsian Guru Cemerlang Sains ini

Cikgu yang senyap dan pendiam...anda sebenarnya menjadi pilihan utama warga sekolah