ALOR GAJAH - Ketika pelajar lain menjalani sesi persekolahan, tiga daripada lima beradik yang tinggal di sebuah kampung di Masjid Tanah, di sini, masih lagi memasang impian dan berharap dapat melakukan perkara yang sama.

Azma, 15; Ali, 13; dan Syairi, 10, (bukan nama sebenar) terpaksa menempuhi kehidupan sukar berikutan kelahiran mereka tidak didaftarkan akibat status mereka yang didakwa sebagai anak tidak sah taraf.

Azma berkata, sejak dari kecil lagi dia dan dua adiknya itu tidak berpeluang untuk ke sekolah.

“Pergi sekolah tadika pun tak pernah. Saya ada tanya ibu kenapa kami tak boleh pergi sekolah, ibu beritahu sebab tak ada surat beranak,” katanya.

Ali dan Syairi ketika memberi makan kambing peliharaan datuknya.

Menurutnya, dia sedih setiap kali adik-adiknya bertanya tentang bila hendak ke sekolah.

“Saya jawab, sabarlah belum rezeki kita lagi. Siapa tak sedih tengok kawan-kawan kat kampung ni pakai baju seragam.

“Kadang-kadang nampak mereka lalu depan rumah sebab merentas desa. Kita hanya mampu tengok saja,” katanya.

Katanya, kini mereka banyak habiskan masa di rumah.

“Ibu kerja sebagai pengawal keselamatan, abang-abang saya pula kerja sendiri.

“Jadi tinggal kami bertiga dengan atuk dan makcik. Kami bantu atuk bagi makan kambing, itik dan ayam. Kalau Ali rajin dia akan tangkap ikan haruan dalam parit, dapatlah buat makan malam,” katanya.

Artikel menarik:

Tolak tawaran belajar ke luar negara dan tekad ambil STPM.. Habil buat semua ini kerana ibu

Tiada petua khusus, anggap al-Quran sebagai sahabat sejati - ini kata Farhatul, pelajar SMAP Labu

'Belajar taranum sejak usia 5 tahun, baca al-Quran setiap kali selepas solat' - Kongsi Nor Farhatul

'Saya belajar bahasa Aran daripada pelancong.' - Tular kisah pelajar sembang dengan pelancong Arab

'Budak ni biar betul?' - Hadiah hari guru buat cikgu ini terus capai minyak cap Kapak