MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan menambah baik sistem perkhidmatan kaunter pentadbiran di setiap sekolah di negeri ini bagi mengurangkan karenah birokrasi.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad berkata, sistem sedia ada dilihat kurang berkesan untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama kepada ibu bapa yang mempunyai urusan pendaftaran anak ke sekolah baharu.

Katanya, keberadaan sistem berkenaan menyebabkan ibu bapa terpaksa menunggu guru penyelaras tingkatan untuk datang ke pejabat sehingga adakalanya memakan masa lebih sejam.

“Kita yakin kelemahan dapat diperbaiki dengan memperkenalkan satu prosedur operasi standard (SOP) di bahagian pengurusan bagi memastikan masa menunggu ibu bapa lebih pendek, sekali gus mengoptimumkan peranan bahagian pentadbiran yang terdiri dalam kalangan pentadbir, pegawai dan kerani.

“Menerusi tambah baik ini juga guru penyelaras tak perlu lagi hadir ke pejabat seperti SOP sebelum ini kerana di pejabat ada pihak pentadbiran menguruskan borang pendaftaran dan apa jua isu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan dengan pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK Bukit Katil, Abdullah Othman dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam yang juga Adun Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab.

Katanya, perbincangan dengan jabatan pendidikan negeri akan dilakukan secara tuntas sebelum sistem berkenaan dipraktikkan di 313 sekolah termasuk rendah dan menengah.

Semalam, tular di media sosial apabila Adun Durian Tunggal memuat naik status yang mendakwa pengurusan sekolah berkenaan lambat mengambil tindakan dalam urusan pendaftaran anak sehingga beliau terpaksa menunggu agak lama.