MELAKA - Kolaborasi penyelidikan strategik antara Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Cybersecurity Malaysia (CSM) terus menjana hasil berimpak global.

Dekan FTMK UTeM, Prof Ts Dr Rabiah Ahmad berkata, FTMK UTeM dan CSM merupakan rakan kolaborasi sejak tahun 2014 lagi dan telah menghasilkan banyak perkara berimpak dalam bidang penyelidikan.

Jelasnya, antara kejayaan bersama yang memberikan impak bertaraf global dalam bidang penyelidikan keselamatan siber itu ialah menerusi projek perundingan YAKSHA yang melibatkan negara Eropah.

Seterusnya projek perundingan programme systematic review on IoT, cloud computing dan blockchain forensic CSM, global-ACE Scheme dan juga pensijilan OIC.

Di samping itu, selari dengan objektif yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini merangkumi pembangunan sumber manusia dan program peningkatan karier serta kolaborasi penyelidikan dan penulisan dalam bidang keselamatan siber.

Terbaharu pihak CSM turut menyumbang 10 unit komputer riba Dell Latitude 3490 kepada FTMK baru-baru ini yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) CSM, Ts Dr Zahri Yunos.

COO CSM, Dr Zahri berkata, penyerahan 10 unit komputer riba itu adalah merupakan kesinambungan daripada projek penyelidikan yang dijalankan di makmal Coordinated Malware Eradication & Remediation Project (CMERP), FTMK UTeM.

“Dengan anggaran kos yang terlibat sebanyak RM40,000 dan konsep kebersamaan dalam pembangunan aktiviti penyelidikan keselamatan siber yang diterapkan, diharapkan kedua-dua pihak dapat menikmati kemudahan yang tersedia,” ujarnya.

Merujuk kepada komputer riba yang diterima itu, Dr  Rabiah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak CSM yang sangat aktif memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk demi menjayakan projek-projek yang telah dirangka bersama CSM dan FTMK.

Beliau juga berharap ahli fakulti dapat memanfaatkan sebaik mungkin segala kemudahan yang telah disediakan oleh pihak universiti dan CSM sendiri dalam meningkatkan aktiviti penyelidikan serta meletakkan FTMK dan UTeM di persada dunia.

Artikel menarik

Cikgu Aben sanggup belajar bahasa Dusun kerana ingin dekati murid. Kagum dan salute!

Permaisuri Johor yakin kurniaan komputer riba bantu lancarkan pembelajaran pelajar