BUKIT BARU - Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Melaka, meningkat 0.6 peratus dengan 87 peratus daripada 10,762 calon yang menduduki peperiksaan itu, layak menerima sijil berbanding 86.04 peratus pada 2016.

Exco Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Seri Md Yunos Husin berkata, pencapaian Gred Purata Melaka juga bertambah baik kepada 5.00 berbanding 5.25 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 280 calon mewakili 2.26 peratus, di bawah Kementerian Pendidikan negeri ini memperoleh gred cemerlang A (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Seramai 280 pelajar mendapat semua A, berbanding tahun 2016, hanya 224 calon sahaja dan bilangan yang mendapat semua A+ juga meningkat daripada lima kepada sembilan orang termasuk seorang calon yang mendapat 11A+ pada 2017.

“Secara keseluruhan keputusan peperiksaan SPM Melaka menunjukkan pencapaian membanggakan dan tahniah serta syabas kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan,” katanya.

Tambah Md Yunos, selain itu tujuh mata pelajaran teras termasuk Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam mencatatkan peratus lulus melebihi 79 peratus  dan semua mata pelajaran mengatasi nasional di antara 0.4 peratus hingga 2.1 peratus.

Dalam pada itu, pelajar cemerlang juga akan menerima sagu hati RM500 daripada kerajaan negeri dalam satu majlis pada 23 Mac ini.