MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan berusaha memastikan proses kemasukan pelajar berstatus bukan warganegara diperhalusi dan dipermudahkan supaya mereka mendapat hak bersekolah.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, aduan kesukaran mendaftarkan sekolah bagi golongan berkenaan sering diterima terutama ketika program Hari Bertemu Rakyat.

Adly berkata, jika tidak diselesaikan segera, isu tersebut bakal mengundang dua masalah lain iaitu tidak bersekolah dan bukan warganegara.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri supaya isu terbabit dipanjangkan ke Kementerian Pendidikan (KPM) agar proses dokumentasi tidak menghalang untuk pelajar bukan warganegara mendapat peluang pendidikan seperti anak-anak lain.

“Kita terima banyak kes masalah untuk bersekolah kerana dasar dan peraturan pendidikan tertentu. Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan berhubung isu ini.

“Sedia maklum proses permohonan status warganegara mengambil masa panjang dan perbincangan akan dibuat supaya kita dapat lebih memperkemas dan menambah baik peraturan bagi membolehkan anak bukan warganegara Malaysia atau tidak memiliki status warganegara bersekolah,” katanya di Dewan Seri Bendahara di Ayer Keroh di sini.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, selain itu Melaka bakal mempunyai sebuah lagu hari raya sendiri apabila seorang anak jati Melaka berbangsa tionghua menggubah sebuah lagu berserta lirik bagi memeriahkan suasana Aidil fitiri tahun ini.

“Saya tertarik dengan lagu itu dan mengalu-alukannya, kita akan tambah baik dari segi gubahan lagu. Mungkin kali ini kita akan mempunyai lagu raya sendiri iaitu lagu dari rakyat kepada rakyat,” katanya.