JASIN - Modul baharu tabika kemas yang akan dilaksanakan tahun depan pasti akan membuatkan kanak-kanak tak mahu balik rumah.

Ini sebab Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memperluaskan modul pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Stream) di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara.

Menterinya, Rina Harun berkata, modul pembelajaran baharu yang akan diperkenalkan di 11,119 tabika kemas termasuk 324 di Melaka, seiring perkembangan dunia sains dan teknologi bagi memastikan nilai murni dapat disemai seawal kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun dengan pelbagai kemahiran menerusi pendekatan belajar sambil bermain.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan sahaja, projek perintis bertemakan ‘pilot’ berjaya dibangunkan dan direalisasikan dengan menyasarkan setiap negeri mempunyai satu projek perintis, selain akan fokus Tabika Kemas luar bandar.

“Seperti modul pembelajaran ini tentang tema kapal terbang dari lapangan terbangnya, daftar masuk penerbangan, secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak itu sendiri dan secara praktikal dalam masa sama mereka boleh bekerjasama dengan baik antara satu sama lain.

“Program ini juga direalisasikan dengan kerjasama pintar bersama pakar akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain penglibatan ibu bapa bagi menjayakannya,” katanya pada majlis pelancaran program Stream Tabika Kemas di Tabika Kemas Al-Ghazale Chabau, di sini, semalam.

Rina berkata, modul pembelajaran bersifat interaktif dengan kemudahan peralatan ICT bersesuaian akan dapat memperkasakan lagi modul pembelajaran sedia ada yang selama ini mengguna pakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di bawah Kementerian Pendidikan.